Monday, March 21, 2016

Azizah: Isu RM2.6 bilion, 1MDB lebih besar dari kes Lim

Anne Muhammad


LIHAT VIDEO DI SINI
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan isu sumbangan RM2.6 bilion dan kes membabitkan 1MDB lebih besar berbanding pembelian rumah ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam kes membabitkan Lim, Azizah berkata pelbagai pihak sepatutnya menunggu sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan.

"Dia (Lim) sedang disiasat oleh SPRM, saya rasa kita patut tunggu sebab moral berkait dengan 1MDB dan RM2.6 bilion lebih besar," katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Ketika ditanya adakah isu itu melibatkan serangan peribadi terhadap Lim, Azizah mengiyakannya.

Katanya, perkara itu timbul kerana pembangkang sebelum ini membangkitkan dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri dan kerugian ditanggung 1MDB.

"Ada juga unsur-unsur begitu (serangan peribadi), nampak seperti dia (Guan Eng) menjadi sasaran sebab bila kita lihat apa yang berlaku kepada dana RM2.6 bilion dan 1MDB, bila masa kita buka mulut tentang itu, ada individu yang akan dipecat dan hadapi masalah.

"Saya rasa mereka akan menyasarkan dan setiap kali langkah itu (menjadi mangsa) adalah pihak pembangkang," katanya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya menuduh Lim membeli sebuah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn dengan harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran.

Shabudin juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.

Bagaimanapun, Lim menafikan dakwaan itu dan berkata beliau bersedia untuk menjawab tuduhan Shabudin di Parlimen. Lim juga meminta Shabudin mengulangi dakwaannya di luar parlimen agar beliau boleh mengambil tindakan saman untuk membersihkan namanya.


No comments: