SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang mengesan ibu bapa kandung atau waris tiga kanak-kanak yang ditinggalkan di sekitar Masjid Zaid Harithsah, Kampung Sungai Mulia, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.
Kanak-kanak tersebut dikenali Muhammad Azwie Abdullah, 12, Nurfazila Natasha Abdullah, 9, dan Nurdawina Abdullah, 7.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamed Sabri Aris berkata, kanak-kanak tersebut kemudian diletakkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras di bawah perintah jagaan sementara mulai 5 Oktober 2015 hingga 10 Disember 2015.
Menurutnya, bagaimanapun, atas persetujuan ibu saudara kanak-kanak ini telah diletakkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai bernama Jamaluddin Wahab beralamat di Kampung Paya Jaras Dalam Sungai Buloh , Selangor melalui Perintah Mahkamah mulai 10 Disember 2015 hingga 6 April 2016.
"Demi masa depan kanak-kanak tersebut, JKM berharap ibu kandung bernama Dewi Pusitasari hadir ke JKM Wilayah Persekutuan di tingkat 9, Grand Seasons Avenue, No 72, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, untuk perancangan dan penempatan kanak-kanak tersebut seterusnya.
"Ibu kandung atau waris kanak-kanak boleh menghubungi Azizul Rahaman Zabidin di talian 03-26124000 atau 03-26124140,” katanya.
No comments:
Post a Comment