Wednesday, March 2, 2016

Dr Mahathir benar, ini kalilah!



Oleh Jimmy Shibari


Saya adalah seorang pengkagum Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seorang yang berani. Di masa-masa krisis seperti sekarang ini, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai orang yang berani.

Walaupun sudah berumur 90 tahun tetapi Dr Mahathir menyatakan kesanggupan beliau untuk didakwa dan dipenjarakan di dalam penentangan beliau terhadap rejim Datuk Seri Najib Razak (dan Datin Seri Rosmah Mansor).

Keberanian Dr Mahathir mengalahkan kita yang muda. 

Sebagai seorang politisi berpengalaman, Dr Mahathir adalah seorang yang pintar, licik dan strategis di dalam menggunakan kedudukan dan kuasanya serta alat-alat negara untuk menundukkan musuh-musuh beliau khususnya ketika beliau menjawat jawatan perdana menteri.

Tetapi pada masa yang sama beliau juga seorang pemimpin yang punya wawasan jelas untuk negara dan bangsa Malaysia yang dipimpinnya. Sama ada kita setuju atau tidak dengan wawasan dan jalan dipilih Dr Mahathir untuk merealisasikannya itu satu perkara yang lain.

Namun begitu rekod keterampilan Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang hebat dan dikagumi dunia dirosakkan khususnya di mata ramai orang Melayu dengan tindakan beliau memecat Datuk Ser Anwar Ibrahim melalui tuduhan yang sampai sekarang diragui kesahihannya.

Walaupun kerosakan yang dilakukan Dr Mahathir khususnya dalam soal-soal kehakiman, kebebasan media, hak asasi manusia dan demokrasi mendahului tindakannya memecat Anwar Ibrahim, namun di mata ramai orang Melayu kesalahan terbesar beliau adalah kerana memecat dan mengaibkan Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Apa pun satu hal yang kita perlu akui Dr Mahathir adalah seorang nasionalis. Malahan buat saya tindakan beliau memecat Anwar pada waktu itu salah satu daripada faktornya adalah kerana dorongan sentimen nasionalisme beliau.

Konteksnya adalah krisis kewangan 1997/1998 yang meranapkan ekonomi banyak negara di Asia Tenggara.

Anwar dilihat lebih cenderung menyebelahi kapitalis global dan internasional yang diwakili IMF, World Bank dan Amerika Syarikat manakala Dr Mahathir cenderung mengambil sikap menyebelahi kapitalis nasional dalam krisis kewangan tersebut. Dr Mahathir adalah nasionalis yang mendukung sistem kapitalis dan pasar tetapi ia mestilah menguntungkan Malaysia (baca: kapitalis nasional).

Konflik yang bermula daripada 2 pandangan ekonomi yang berbeza itu akhirnya berlarutan kepada konflik politik dan kuasa yang seterusnya melahirkan Gerakan Reformasi 1998. Dr Mahathir adalah ikon kebencian Gerakan Reformasi. Kerana itu Dr Mahathir dijuluki sebagai Mahafiraun, simbol makhluk terkutuk.

Tapi kebencian kepada Dr Mahathir pada waktu itu rata-ratanya hanya dikongsi orang Melayu. Orang bukan Melayu terutamanya Cina tidak berkongsi rasa yang sama. Mereka (bukan Melayu) masih melihat Gerakan Reformasi yang lahir daripada pemecatan Anwar sebagai konflik dalaman Melayu.

Kebencian terhadap Dr Mahathir juga lebih tertumpu di Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak kebencian terhadap Dr Mahathir tidaklah begitu meluas.

Dengan kata lain kebencian terhadap Dr Mahathir tidak menyeluruh mencakupi majoriti rakyat Malaysia dan tidak sepenuhnya merentasi batas etnik dan tidak melangkaui hingga ke negeri-negeri Borneo.

Oleh itu, pada pilihan raya umum 1999, walau pun Barisan Nasional (BN) kalah undi Melayu, tetapi dengan sokongan besar undi bukan Melayu dan undi dari Sabah serta Sarawak, BNyang dipimpin Dr Mahathir masih berjaya mengekalkan 2/3 kerusi Parlimen dan menang di semua negeri kecuali Kelantan.

Kisah seterusnya kita sudah sedia maklum. Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri yang dipegangnya pada 2003 selepas beliau merasakan krisis ekonomi 1997/1998 yang melanda negara sudah pun sebahagian besarnya diselesaikan dan visi Malaysia menjadi negara maju pada 2020 kembali semula ke trek asalnya.

Namun seorang Dr Mahathir yang nasionalis tidak mampu berdiam diri walau pun sudah melepaskan jawatan kekuasaan yang formal. Campur tangan Dr Mahathir di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah diketahui umum. Motifnya berbagai tapi salah satunya adalah kerana jiwa nasionalis Dr Mahathir itu sendiri.

Dan kini pada era pemerintahan Najib, Dr Mahathir sekali lagi campur tangan. Dan sekali lagi juga salah satu daripada motifnya adalah nasionalisme, iaitu keinginan untuk memastikan Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa tidak menuju kehancuran khususnya dari sudut perkembangan ekonominya.

Dan Najib dilihat Dr Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Malaysia menuju kepada kehancuran, baik dari sudut ekonomi mahu pun maruah serta nama baik Malaysia di mata dunia.

Daripada tuduhan skandal korupsi yang melibatkan kes pemindahan wang bernilai RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau, kegagalan dan hutang berbilion ringgit yang ditanggung 1MDB sehinggalah kepada misteri pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibu yang hingga sekarang masih menjadi tanda tanya.

Skandal-skandal Najib (dan juga isterinya Rosmah) adalah skandal yang sudah menjadi bicara umum dan menimbulkan kebencian yang amat sangat di kalangan rakyat terhadap 2 sosok ini.

Berbeza dengan kebencian ditunjukkan rakyat kepada Dr Mahathir pada tahun-tahun reformasi 1998 yang lebih tertumpu kepada orang Melayu, kebencian (dan juga kemarahan) rakyat terhadap Najib kelihatannya hampir menyeluruh. Najib (dan Rosmah) nampaknya dibenci semua orang, tidak kira orang Melayu, Cina, India, Sabah dan juga Sarawak.

Mungkin yang masih menyukai Najib hanyalah orang Umno. Itu pun tidak semua. Sebahagian orang Umno yang terdiri daripada beberapa pemimpin di peringkat cawangan sudah pun menuntut supaya Najib berundur.

Sebuah institut kajian bebas, Merdeka Centre baru-baru ini melaporkan  populariti Najib di kalangan orang Melayu sendiri sudah pun jatuh di bawah 50%. Tahap kepuasan orang Melayu terhadap kepimpinan Najib hanyalah mencapai 31% sahaja menurut kajian tersebut. Maknanya 69% orang Melayu tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib.

Dr Mahathir juga pada 1998/1999 dibenci ramai orang Melayu tapi beliau masih mendapat dukungan daripada bukan Melayu khususnya pada pilihan raya 1999. Tetapi situasi kali ini jauh berbeza di mana Najib dibenci majoriti rakyat Malaysia.

Memandangkan kebencian (dan kemarahan) rakyat terhadap Najib hampir merangkumi seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai etnik dan juga merentasi negeri dari Perlis hingga ke Sabah, maka seruan Dr Mahathir untuk semua pihak yang menentang kepimpinan Najib (dan Rosmah) bergabung dan bersatu dalam satu gerakan adalah yang paling munasabah, wajar dan strategis.

Cadangan Dr Mahathir untuk membangunkan sebuah barisan bersatu rakyat Malaysia yang menggabungkan parti pembangkang, NGO, kelompok masyarakat dan juga orang-orang persendirian yang berpengaruh untuk menjatuhkan Najib (dan Rosmah) adalah suatu cadangan yang wajib disokong mereka yang mahukan perubahan.

Dr Mahathir benar! Ini kalilah!

Krisis yang melanda Malaysia ini sebenarnya membawa satu peluang yang sangat besar. Di dalam sejarah mana-mana bangsa, peluang yang sebegini tidak selalunya wujud. Kondisi yang terjadi sekarang ini sangat jarang sekali tiba.

Malahan dalam sejarah Malaysia moden, peluang seperti ini tidak pernah datang. Inilah kali pertama kondisi yang melahirkan peluang ini hadir dan menunggu masa untuk digunakan. Kondisi di mana terdapatnya 2 sosok iaitu Najib dan isterinya Rosmah yang menjadi ikon paling dibenci hampir semua rakyat Malaysia.

Dr Mahathir sendiri tidak mencapai tahap sebegini. Dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali isteri Dr Mahathir pula dengan segala sifat kerendahan hati dan keibuannya gagal menjadi ikon kebencian rakyat pada era reformasi 1998.

Memilih untuk menunggu 2 tahun lagi bagi menjatuhkan Najib pada pilihan raya umum ke-14 adalah terlambat. Dalam tempoh 2 tahun berbagai perkara boleh terjadi. Melihat kepada cara Najib (dan Rosmah) memimpin Malaysia sekarang ini, tidak mustahil dikatakan sebelum tempoh itu tiba, Malaysia sudah pun menjadi negara gagal.

Sebelum 2 tahun sampai, ekonomi Malaysia berkemungkinan besar akan jatuh merudum, nilai tukaran mata wangnya menjadi semakin rendah, pengangguran meningkat tinggi, kemiskinan bertambah dan jenayah semakin berleluasa. 

Masanya untuk bergabung di bawah satu barisan adalah sekarang. Ini kalilah!

Tapi pertanyaan yang mungkin bermain di fikiran setiap orang ialah apa selepas Najib? Siapa yang akan mengganti Najib?

Ini adalah pertanyaan yang wajar. Dengan kekuatan barisan bersatu yang merangkumi berbagai elemen dalam masyarakat, tuntutan pertama yang perlu direalisasikan selepas Najib (dan Rosmah) dijatuhkan ialah pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum ke-14 diadakan untuk memilih kepimpinan Malaysia baharu.

Tetapi sebelum ia diadakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlulah direformasikan secara total dengan memastikan ia dijalankan dengan bebas, bersih dan adil.

Dengan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil, kepimpinan baru yang terpilih itu nanti wajib dituntut untuk memansuhkan segala undang-undang yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia.

Ini adalah 3 tuntutan jangka pendek yang wajar dan munasabah untuk dilaksanakan selepas Najib (dan Rosmah) dijatuhkan. Dan tiada kompromi terhadap 3 tuntutan yang paling mendasar ini.

Sekarang peluang sudah di depan mata. Memberi pelbagai alasan adalah cara untuk menyembunyikan kebaculan kita. Mengajukan bermacam halangan hanya akan melambatkan perubahan untuk Malaysia yang kita cinta.

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Berkayuhkah kita atau membiar lama sehingga perahu hanyut dibawa arus dan dayung reput dimamah masa.

No comments: