KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan
penumbra yang pernah dikaitkan dengan pelbagai mitos, hari ini.
Gerhana bulan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa sama melintasi bayang bumi.
Angkasa Negara (ANGKASA) dalam kenyataannya berkata, kitaran penuh
fenomena itu bermula pada jam 5.39 petang apabila bulan mula memasuki
zon penumbra, iaitu bayang-bayang yang terhasil apabila pancaran
matahari dihalang oleh bumi.
"Kemuncak gerhana akan berlaku pada jam 7.47 malam dan fenomena itu
dijangka berakhir pada jam 9.59 malam selepas bulan mulai keluar dari
zon penumbra.
"Orang ramai disaran melihat arah timur menggunakan binokular atau
teleskop, iaitu arah bulan terbit untuk menyaksikan kitaran penuh
fenomena ini.
"Ada kemungkinan gerhana bulan tidak jelas jika dilihat dengan mata
kasar disebabkan zon penumbra bumi yang kurang gelap berbanding
bayang-bayang umbra bumi," katanya.
Umbra bumi berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan lurus.
Keadaan itu mewujudkan umbra bumi berikutan cahaya dipancarkan matahari dihalang oleh bumi.
Mengikut kenyataan itu, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena
yang pertama seumpamanya tahun ini menerusi program Gerhana Bulan
Penumbra di Planetarium Negara.
"Program anjuran ANGKASA bersama Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi serta Pembekal Peralatan Starfield ini akan bermula pada jam
7.30 malam.
"Ia bertujuan memberi pendedahan, selain menanam minat terhadap ilmu
astronomi dalam kalangan masyarakat apabila menyaksikan fenomena gerhana
ini.
"Fenomena gerhana bulan yang kedua tahun ini dijangka berlaku pada 17 September depan," katanya.
No comments:
Post a Comment