SHAH ALAM – Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370 mengesahkan bahawa dimensi, bahan serta struktur binaan pada kedua-dua serpihan yang ditemui di Mozambique didapati sama dengan spesifikasi pesawat Boeing 777.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, menerusi pemeriksaan dan analisis yang dijalankan, cat dan stensil pada kedua-dua serpihan itu juga didapati sama dengan pesawat yang digunakan oleh Malaysia Airlines (MAS)
“Oleh itu, kedua-dua bahagian adalah konsisten dengan panel dari pesawat MAS Boeing 777 dan hampir pasti dari MH370,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Serpihan ditemui di Mozambique hampir pasti dari MH370]
Awal bulan ini, dua serpihan ditemui di Mozambique dan proses memeriksa serpihan berkenaan dilakukan di Australia.
Dalam pada itu, Tiong Lai memaklumkan bahawa lokasi penemuan kedua serpihan itu juga didapati konsisten dengan model lencongan yang dilakukan oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO).
Beliau berkata, kedua-dua serpihan yang ditemui tersebut telah menjalani pemeriksaan dan analisis di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di Canberra, Australia.
“Pemeriksaan bermula pada 21 Mac lalu dan telah selesai pada 23 Mac. Analisis pemeriksaan dilakukan oleh pakar antarabangsa dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia untuk MH370, ATSB, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dan Boeing.
“Pihak terlibat ini juga telah dibantu oleh pakar-pakar dari Geosains Australia dan Universiti Antarabangsa Australia,” katanya.
Sehubungan itu, Tiong Lai turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Mozambique, Afrika Selatan dan pihak berkuasa Australia yang memberi sokongan padu dalam menjalankan penyiasatan tersebut.
“Kerajaan Malaysia juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Johnny Begue, Blaine Gibson dan Liam Lotter yang mendedahkan mengenai penemuan mereka tersebut kepada pasukan penyiasat,”katanya.
No comments:
Post a Comment