Tuesday, March 22, 2016

AMANAH kecam Mat Sabu dihalang masuk Sarawak

 
Halangan Mat Sabu memasuki Sarawak adalah tindakan terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.


anuar-amanah


PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam keras tindakan menghalang Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu memasuki Sarawak, hari ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir dalam kenyataannya hari, berkata Mat Sabu tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 10.30 pagi ini dalam rangka lawatan dua hari ke negeri itu.

Katanya, bagaimanapun Mat Sabu ditahan ketika mahu melepasi pemeriksaan imigresen dan dimaklumkan halangan itu adalah daripada arahan Pejabat Ketua Menteri.

“AMANAH ingin mengingatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bahawa Sarawak salah sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Tidak sepatutnya hak mana-mana warganegara untuk masuk ke negeri itu dihalang.

“Ternyata sangkaan AMANAH bahawa Adenan berbeza dari pemimpin sebelumnya, meleset dan silap.

Sikap angkuh yang ditunjukkan Adenan hari ini menyaksikan betapa beliau masih di dalam kerangka pemikiran sempit politik lama, seperti diamalkan bekas Ketua Menteri sebelumnya,” katanya.

Mohd Anuar berkata, halangan Mat Sabu memasuki Sarawak adalah tindakan terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, ia juga menunjukkan betapa Adenan berada dalam ketakutan dan cuba menyekat suara perubahan dan kebangkitan rakyat di negeri itu.

Sebelum ini, beberapa pepimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya Nurul Izzah Anwar, Datuk Saifuddin Nasution, Rafizi Ramli, Tian Chua, Teresa Kok, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin pembangkang lain juga dihalang memasuki negeri itu.

No comments: