KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Phang
Chaw mendakwa PKR mengambil pendekatan selamat dengan bekerjasama dengan
PAS serta Parti Amanah Negara (PAN) kerana bimbang kehilangan kuasa
pemerintah di Selangor.
Hu yang kini Exco PAN Nasional berkata meskipun bersama DAP-PAN dalam
Pakatan Harapan (PH) namun PKR tekad meneruskan kerjasama dengan PAS
kerana tidak mahu hilang pengaruh dan kuasa.
"Bagi saya PKR main safe (selamat), maknanya dia takut hilang kuasa di Selangor.
"Di samping itu dia nak sokongan daripada PAN supaya dia boleh menang
kerusi di negeri yang lain," katanya dalam pertemuan ringkas bersama
Antarapos baru-baru ini.
Beliau menambah PKR sememangnya banyak bergantung kepada PAS sejak di
awal penubuhan parti itu terutamanya dalam menarik sokongan di peringkat
akar umbi.
"Dulu dia memang bergantung dengan PAS untuk bekerjasama dengan dia khususnya di akar umbi.
"Tapi bila PAN nampaknya mempunyai potensi yang besar dalam perjuangan
politik di Malaysia maka PKR membuat keputusan yang bijak di mana dia
berkawan dengan kedua-dua belah pihak," katanya.
Justeru bagi memastikan kelangsungan politik jelas Hu, PKR mengambil
keputusan bijak yang tidak menimbulkan konflik dalam kalangan komponen
PH dan juga PAS.
"Maknanya bila berkawan dengan PAN dia dapat sokongan di negeri yang
lain dan bekerjasama dengan PAS dia kekalkan kuasa pemerintah di
Selangor.
"Bagi saya ini perkara biasa dalam politik," katanya.
No comments:
Post a Comment