SHAH ALAM: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
bertitah baginda bosan dengan dengan pelbagai pihak yang masih gagal
membuat ketetapan bersabit penggunaan rokok elektronik atau vape di
negara ini.
Bagi baginda, trend vape ini jika tidak ditangani dari awal, ia akan mendatangkan mudarat kepada rakyat.
"Beta bosan dengan pelbagai pihak berkuasa di peringkat negeri dan
kerajaan persekutuan yang masih tidak boleh membuat keputusan mengenai
isu ini.
"Beta membuat kajian dan ini bukan adat kita. Begitu juga shisha. Beta
terkejut dan berasa jijik apabila terlihat wanita bertudung dan juga
kanak-kanak menghembuskan asap vape.
Beta menyedari ini adalah permulaan kepada ancaman dan perlu campur
tangan secepat mungkin. Bagi beta, ini adalah teknologi dadah yang
berbahaya. Tidak seperti dadah, ia sukar dikesan," ujar baginda dalam
wawancara bersama akhbar The Star.
Media termasuk The Star sebelum ini menyiarkan bagaimana kanak-kanak
sekolah rendah membelanjakan wang saku mereka untuk produk vape.
"Apa yang beta takutkan sudah terjadi. Polis kini menahan beberapa individu yang menjual cecair vape berperisa ganja.
"Lebih membimbangkan sindiket ini beroperasi sejak Ogos lalu dan
menjualnya menggunakan Internet dan menghantar produk mereka melalui
kurier," keluh baginda.
Baginda juga kurang senang apabila isu vape dikaitkan dengan politik kepartian.
"Mereka mengheret isu ini dan beberapa ahli politik membuat kenyataan
tidak masuk akal bahawa vape tidak harus diharamkan kerana jutaan undi
akan hilang dan kepentingan bumiputera akan terjejas.
"Beta fikir apa yang baik dan beta tegas bahawa semua ini perlu dihentikan pada 1 Januari tahun depan.
"Buat masa ini, semua yang menentangnya demi perniagaan mereka. Adakah anda ambil berat tentang kesihatan orang ramai?
"Terdapat juga mereka yang menentang termasuk 'seorang pelawak' yang
mengheretkan diri ke dalam isu ini untuk memberikan komen mereka," ujar
baginda.
Kenyataan baginda itu dipercayai merujuk kepada aktivis Abdul Rani
Kulup Abdullah atau Kipidap yang terkenal dengan penampilannya memakai
beret merah, menjadi tajuk utama berita kerana membuat lebih 1,000
laporan polis terhadap ahli politik pembangkang dan pemimpin badan bukan
kerajaan (NGO).
Baru-baru ini Rani Kulup menyertai sebuah NGO Melayu dengan mengatakan
Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan satu juta undi pada pilihan raya
umum akan datang jika pihak berkuasa terus mengenakan tindakan terhadap
peniaga vape.
Majlis Fatwa Kebangsaan pada 21 Disember lalu mengisytiharkan penggunaan vape adalah haram.
No comments:
Post a Comment