Insiden kekecohan beberapa hari lalu menyebabkan peniaga semakin sukar mendapat pelanggan baru
KUALA LUMPUR: “Lagi 20 (ringgit saya bayar esok ya,” kata seorang pelanggan kepada Nira (bukan nama sebenar), pekerja di sebuah kedai telekomunikasi di Kompleks Kota Raya.
Cuti umum selama dua hari sedikit sebanyak merancakkan kembali perniagaan di kompleks itu, yang lengang ekoran kekecohan pada 20 Disember lalu.
Menurut Nira, selepas hampir seminggu insiden kekecohan oleh sekumpulan lelaki berlaku di situ, majikannya semakin sukar mendapat pelanggan baru.
“Sekarang yang datang hanya pelanggan tetap. Biasanya mereka beli kad tambah nilai dan aksesori lain.
“Sudah sukar untuk dapat pelanggan baru, apatah lagi untuk beli telefon,” katanya yang merupakan pekerja warga Indonesia.
Sementara itu, pelanggan yang datang ke tempat dia bekerja itu yang juga merupakan warga Indonesia berkata, dia sudah biasa berurusan di kedai tempat Nira bekerja dan Telefon bimbit yang digunakan turut dibeli di kedai berkenaan.
“Telefon pun masih dalam keadaan baik. Jadi kalau ada apa-apa, datang sini sahajalah,” katanya lagi.
Suasana di Kota Raya petang Jumaat kembali sesak dengan pengunjung yang datang kebanyakannya warga asing.
Rakan Nira yang bekerja di kedai bersebelahan pula mengharapkan, aktiviti perniagaan di plaza berkenaan akan kembali pulih seperti sedia kala.
“Memang tak ramai orang ke sini sebelum ini, tetapi keadaan menjadi lebih teruk sepanjang minggu ini.
“Ramai yang datang adalah mereka yang sudah biasa berkunjung dan kebanyakannya warga asing. Susah juga kalau bergantung kepada pelanggan tetap sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia menyambut baik langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuka kaunter aduan di kompleks itu.
“Saya harap tindakan itu akan dapat hilangkan rasa rakut orang ramai kerana sikap segelintir penjual, kami semua turut terjejas,” katanya yang sudah tujuh tahun bekerja di situ.
KPDNKK membuka kaunter aduan di tiga lokasi, iaitu Kompleks Kota Raya, Kompleks Pertama dan Plaza Low Yat sehingga 27 Disember ini bagi membolehkan mangsa penipuan membuat aduan.
No comments:
Post a Comment