Saturday, December 26, 2015

Bagaimana mahasiswa melawan lapar

Anne Muhammad  





Kos sara hidup yang tinggi masa kini menyebabkan ada di kalangan mahasiswa terpaksa berlapar kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Keadaan lebih meruncing ketika akhir semester kerana kehabisan wang pinjaman, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Enggan menunggu bantuan mana-mana pihak, beberapa kumpulan dan kepimpinan pelajar universiti awam tampil dengan idea kreatif membantu rakan mereka.

Dinamakan “suspended meals” (hidangan tergantung), penderma boleh membelikan makanan secara prabayar untuk rakan mereka yang kurang bernasib baik.

Seperti diamalkan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), penderma akan diberikan kupon makanan untuk digantung di sebuah papan kenyataan, untuk diambil kemudiannya oleh pelajar yang memerlukan.

“Ada kawan-kawan saya bagi tahu yang mereka ada kawan di asrama yang susah, tidak ada duit untuk makan dan makan sekali sehari, tapi malu mahu beritahu, jadi kami buat program macam ini.

“Kami buat program macam ni atas dasar kepercayaan, kalau mereka ambil kupon itu saya percaya mereka susah,” kata Penyelaras Kebajikan Asasi UIA, Abdullah Mohd, 22.

Difahamkan universiti awam lain yang memiliki program itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Berkongsi usaha mulia mereka itu, Abdullah (gambar) berkata, di UIA, program tersebut telah dilaksanakan selama dua semester.

Katanya, para pelajar yang ingin menderma boleh membeli kupon bernilai RM2 dan RM4 di sebuah kaunter khas di kafe asrama UIA dan melekatkannya di papan kenyataan disediakan.

Atas dasar kepercayaan, tiada semakan dibuat terhadap penerima kupon itu.

“Program ini berdasarkan kepercayaan seratus peratus,” katanya sambil berkata pihak luar turut terlibat menderma melalui sumbangan terus ke akaun penganjur.

Usaha bersama universiti, siswa, masyarakat
Sementara itu, di Universiti Putra Malaysia (UPM), walaupun kaedah berbeza tetapi mereka turut sama mengedarkan makanan percuma kepada pelajar yang kurang memerlukan.

Di pusat pengajian itu, ia dilakukan melalui usaha sama pihak universiti dan pelajar serta menerima sumbangan daripada orang ramai.

Pegawai Pejabat Pendaftar UPM Rafidah Sadarudin berkata, pihaknya turut memulakan program yang dikenali sebagai “Makanan percuma untuk mahasiswa”.



Sebanyak 100 bungkus makanan telah diagihkan dalam program yang telah berlangsung selama dua kali itu.

Jelasnya, program ini diadakan kerana kos sara hidup yang semakin meningkat dan tujuan utamanya bagi meringankan bebanan mahasiswa.

“Objektif utama sebab ingin bantu ringankan beban pelajar dan kami harap ia dapat diteruskan secara berkala, namun semuanya bergantung kepada sumbangan orang ramai,” katanya.

Pihak yang ingin menderma boleh berhubung terus dengan penganjur di universiti masing-masing.

Berkaitan: Hati terusik bila siswa makan sehari sekali

No comments: