SM AMIN
Rata-rata peniaga yang
ditemui menyambut baik cadangan Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjadikan
Anggerik Mall sebagai pusat IT. Foto usblogabout.blogspot.com
SHAH ALAM, Peniaga-peniaga di Anggerik Mall menyambut baik cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan pusat beli-belah itu sebagai pusat Teknologi Maklumat (IT).
Siti Afifah, 23, ketika ditemui The
Rakyat Post berkata, kehadiran pengunjung di Anggerik Mall agak
berkurangan jika dibanding dengan tiga kompleks beli-belah berhampiran
iaitu, Kompleks PKNS, SACC Mall dan Plaza Alam Sentral.
Kata Afifah, keadaan itu menyebabkan
tidak banyak kedai yang beroperasi di Anggerik Mall dan pusat beli-belah
untuk memerlukan satu identiti baru untuk menarik lebih ramai
pengunjung.
“Anggerik
Mall macam sunyi sedikit. Kalau boleh buka kedailah. Tengok di tingkat
atas, tidak hidup, hanya kedai di bawah dengan kedai makan sahaja. Kalau
hidupkan kedai-kedai di sini boleh tarik lebih ramai pengunjung lagi.
“Bila ada cadangan untuk buka Mara
Digital rasanya boleh tarik lebih ramai orang. Di sini ada empat
kompleks beli belah berdekatan dan bersaing sesama sendiri. Jadi
Anggerik Mall perlu ada identiti sendiri,” katanya.
Bagi Noor Amanina Zakaria, 24 yang
bekerja di agensi pelancongan pula, sepanjang bekerja di situ, beliau
mendapati pengunjung hanya ramai apabila waktu rehat tengahari hari
bekerja.
Keadaan itu disebabkan terdapat medan
selera di Anggerik Mall yang menjadi pilihan orang ramai kerana
menyediakan masakan Melayu yang sedap dengan harga yang murah jika
dibanding dengan kawasan sekitar.
“Pengunjung ramai bila waktu tengahari
sebab sini orang kata banyak masakan Melayu dan harganya sangat murah.
Kalau hendak jadikan pusat IT memang sangat sesuailah.
“Plaza Alam Sentral besar, Anggerik Mall
ini kecil dan kalau hendak banding dengan Kompleks PKNS dan SACC Mall,
sini paling kecil. Kompleks lain ada macam-macam,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Fata Abd Hamid, 29
yang sudah enam tahun berniaga aksesori barang kemas dan cincin di
Anggerik Mall menyifatkan cadangan itu akan menjadikan pusat beli-belah
itu sebagai tumpuan terutamanya generasi muda.
Kata Fata, suasana di Anggerik Mall agak
lengang ketika hujung minggu dan beliau bergantung kepada pelanggan
tetap dan juga jualan online.
“Kalau hari cuti Sabtu Ahad, Sabtu
terutamanya pengunjung sangat kurang. Kalau Mara ada buat aktiviti,
adalah pengunjung datang tetapi bukan setiap minggu, bermusim. Macam
pertandingan atau program bersama anak yatim, baru orang ramai datang.
“Mungkin kurang promosi aktiviti itu,
orang tidak tahu apa ada di sini. Orang yang tahu sahaja datang. Kalau
dibanding dengan PKNS, SACC sana lagi ramai walaupun sini ada acara,”
katanya.
Bagaimanapun kata Fata, tahun
kebelakangan ini keadaan ada nampak berubah sedikit apabila Tabung Haji
membuka cawangannya di Anggerik Mall selain daripada pejabat Mara yang
sudah lama berada di situ.
“Selain itu bila cuti sekolah pun boleh
tahan sebab ada cawangan Tabung Haji di sini dan pejabat Mara. Contoh
lepas UPSR, ramai orang datang ambil borang. Kalau buat Mara Digital
akan tarik lagi lebih ramai orang,” ujarnya.
Ismail sebelum ini berkata, cadangan
untuk mewujudkan Mara Digital Mall di pusat membeli-belah Anggerik Mall
masih dalam peringkat perbincangan berikutan pusat beli-belah itu
mempunyai keluasan yang agak terhad untuk menempatkan ruang jualan gajet
dan telefon bimbit.
No comments:
Post a Comment