MALAYSIAKINI
Saksi kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umi Hafilda Ali
mengumumkan keluar Umno kerana tidak puas hati dengan pengguguran Tan
Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.
Beliau malah mengumumkan perkara itu kepada media di rumah Muhyiddin di
Bukit Damansara hari ini, yang menyaksikan penyokongnya mula berkumpul.
"Atas apa yang berlaku terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, saya
Umi Hafilda Ali yang pernah menjadi saksi pertama kepada kerajaan dalam
kes Anwar Ibrahim mengisytiharkan saya keluar dari Umno.
"Saya keluar dari Umno hari ini. Saya malu, saya malu menjadi ahli
Umno,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan kediaman
Muhyiddin.
Sebaliknya Umi berkata beliau bangga menjadi rakyat yang berani
menegakkan kebenaran dan meminta rakyat Malaysia lain turut bangun.
"Saya malu mengaku saya ahli Umno kerana apabila kebenaran itu ditentang
dengan cara yang kotor sebegini. Saya malu menjadi ahli Umno," katanya.
Tanda kejatuhan
Mengulas apakah Muhyiddin juga akan bertindak keluar Umno, Umi berkata beliau tidak berhak untuk bercakap bagi pihak beliau.
"Itu hak dia (keluar parti), saya tak boleh bercakap bagi pihak dia (Muhyiddin).
"Jiwa dia masih dengan Umno, dia masih timbalan presiden Umno dan kalau orang jemput dia masih akan hadir," ujarnya.
Dalam pada itu Umi yang juga adik kepada Menteri Besar Selangor, Azmin
Ali menegaskan bahawa Umno akan berkubur dengan pemecatan Muhyiddin hari
ini.
"Bagi saya pemecatan Muhyiddin hari ini adalah tanda-tanda akan jatuhnya kepimpinan yang ada hari ini.
"Pemecatan Muhyiddin hari ini menunjukkan... maaf cakap, ini apa yang saya rasakan akan berkuburnya Umno selepas 16 tahun.
"Kalau kamu sebagai pemimpin tidak sensitif dengan apa yang berlaku dan
tidak mendengar suara rakyat kamu akan hancur," tegasnya.
Luahan isu hati
Ujar Umi, jika suara orang nombor dua negara pun tidak didengar bagaimana pula dengan keluhan rakyat hari ini.
"Kalau orang nombor dua bercakap pun tidak diterima apatah lagi rakyat," katanya.
Ditanya bagaimana keadaan ahli Parlimen Pagoh itu, Umi berkata beliau begitu tenang dan reda dengan apa yang berlaku.
"Dalam mesyuarat tadi beliau kelihatan tenang dan beliau cakap dia dah
buat yang terbaik, Muhyiddin juga sudah berjumpa dengan Najib dan
meluahkan segala rasa hatinya," tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pemecatan
Muhyiddin sebagai timbalannya, yang dispekulasi susulan berbeza
pendirian berhubung kontroversi 1MDB.
No comments:
Post a Comment