BUTTERWORTH - Empat orang pekerja wanita sebuah bank di Taman Selat di
sini mengalami sesak nafas dan pedih mata dipercayai akibat terhidu gas
di dalam bank itu pagi tadi.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, M.Vijayan
berkata pihak ambulans dari Hospital Seberang Jaya telah memberi rawatan
kepada mereka.
Beliau berkata namun kebocoran gas didapati tidak berlaku di bank itu dan premis lain di sekitarnya.
"Kemungkinan kebocoran gas itu dari sumber luar iaitu premis agak jauh
dari kawasan berkenaan dan angin membawanya hingga ke sini," katanya di
tempat kejadian.
Seorang pekerja bank, Zuraida Ramli berkata ketika sedang bertugas, secara tiba-tiba beliau terbau gas dan matanya mulai pedih.
"Mula-mula kami ingatkan gas itu berpunca daripada penyaman udara, lalu
kami tutupnya, tetapi bau itu masih ada dan beberapa lagi staf turut
pedih mata dan merasa loya," katanya. -Bernama
No comments:
Post a Comment