Wednesday, July 8, 2015

MyWatch pula desak Najib letak jawatan

Sri Sanjeevan
Sri Sanjeevan
 
 
SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terus digesa untuk bercuti sementara dari jawatannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sehingga isu yang dikaitkan dengannya selesai.
 
Pengerusi NGO anti jenayah (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, ia bagi memastikan supaya tidak berlaku sebarang campur tangan dalam siasatan.
 
"Pendedahan oleh Wall Street Journal (WSJ) berkenaan berlakunya pengaliran wang ke dalam akaun peribadi milik Najib merupakan sesuatu yang amat  serius. 
 
"Pertamanya, angka RM2.6 bilion itu merupakan satu jumlah yang amat besar. Keduanya, wang itu disalurkan ke akaun milik seorang Perdana Menteri," katanya menerusi satu kenyataan.
 
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Ahad lalu menyarankan Najib bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung isu ini.‎
 
Malah saranan itu juga turut dizahirkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu.
 
Sementara itu, Sanjeevan turut menuntut penyiasatan ke atas isu tersebut dijalankan secara telus oleh pihak berkuasa.
 
"Peguam Negara, PDRM, SPRM, dan lain-lain pihak yang terlibat perlu menyiasat perkara ini dengan seadil-adilnyanya. Siasatan yang dijalankan mestilah bebas dan adil.
 
"... Najib jangan sekadar menafikan tetapi seharusnya mengambil tindakan undang-undang ke atas Wall Street Journal sekiranya pendedahan itu bersifat fitnah," katanya lagi.
 
Terbaharu, portal antarabangsa itu dikatakan telah memuat naik dokumen berupa perincian bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.
 
Sumber dokumen-dokumen tersebut menurut WSJ diperoleh dari hasil siasatan kerajaan Malaysia sendiri.‎
 
Dalam perkembangan terbaharu, Najib telah memulakan tindakan undang-undang terhadap WSJ berkaitan laporannya itu.
 
Pasukan peguam Najib menghantar emel kepada pemilik WSJ, Dow Jones, meminta penerbitan itu mengesahkan sama ada ia mempertahankan laporannya dan memberi tempoh 14 hari untuk memberi jawapan. 
 
 

No comments: