shahbudindotcom
Baru
semalam blog ini menulis mengenai Muhyiddin Yassin yang agak senyap
mengenai 1MDB sejak kebelakangan ini, beliau akhirnya melontarkan
"peluru" yang ditunggu ramai ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO
Bahagian Cheras di sebuah hotel di ibu negara.
Jika
Perdana Menteri Najib Razak semakin mengelak kebelakangan ini untuk
bercakap mengenai 1MDB, malah di majlis rumah terbuka Tun Abdullah
Badawi, beliau hanya menjawab "okaylah" saja apabila ditanya oleh
wartawan, Muhyiddin nampaknya masih boleh disandarkan kepercayaan atas
sikap dan keprihatinannya yang terbaru ini.
Kata Muhyiddin, sebagai anak tok guru, beliau ada hak untuk berkata yang benar sebagaimana yang selalu diajar oleh bapanya.
Okaylah, masih ada harapan lagi nampaknya pada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri ini...
UMNO
Bahagian Cheras pimpinan Syed Ali Alhabshee yang baru-baru ini dilantik
sebagai Pengerusi PNS merupakan bahagian pertama yang mengadakan
mesyuarat perwakilannya pada tahun ini dan Muhyiddin pula menjadi
pemimpin UMNO yang pertama diberi penghormatan untuk merasmikannya.
Pemimpin
UMNO yang lain, termasuk Najib belum lagi merasmikan mesyuarat
perwakilan mana-mana bahagian dan mungkin mulai minggu depan barulah
mereka sibuk dengannya.
Antara intipati "peluru" ucapan Muhyiddin berkaitan 1MDB di Cheras itu ialah:-
- Najib perlu jawab tuduhan duit berbilion masuk ke dalam akaun peribadinya.
- Najib tak dengar nasihat saya agar letak jawatan dalam 1MDB.
-
Saya baca The Edge yang digantung permitnya untuk faham mengenai 1MDB.
Kalau The Edge tak betul, tunjukkan saya apa yang betul.
- BN akan kalah jika Najib adakan pilihanraya dalam waktu terdekat ini.
-
Tun Mahathir ibarat bapa kita. Berhentilah menghentamnya kerana ia akan
menjadikan bekas Perdana Menterti itu tambah popular, manakala kita
jadi semakin jatuh.
Secara
umumnya apa yang disebut oleh Muhyiddin ini mencakupi keseluruhan
kebimbangan yang ada di kalangan rakyat dan ahli UMNO peringkat akar
umbi. Isu 1MDB dan kaitannya dengan Najib adalah perkara besar yang
sedang menghenyak kedudukan parti dan kerajaan ke paras paling rendah di
sisi rakyat ketika ini.
Ia
bukan saja berkaitan hutang, pelaburan, Jho Low dan pelbagai keraguan
lain mengenai syarikat pelaburan itu, tetapi yang lebih membingungkan
ialah tidak pernah sebelum ini mana-mana Perdana Menteri dituduh
menerima kemasukan wang ke dalam akaun peribadi sebesar RM2.6 bilion
jumlahnya.
Orang kampung dan makcik Felda barangkali boleh jadi pening kepala dan mamai berhari-hari memikirkan jumlah wang sebanyak itu.
Apatah
lagi, tuduhan itu tidak dijawab dengan mantap oleh Najib sendiri yang
menyebabkan berlegarnya pelbagai spekulasi liar mengenainya sehingga
bukan saja menyebabkan pengundi tegar pembangkang dan atas pagar
bertekad untuk terus menjauhi kerajaan, malah penyokong BN sendiri ramai
yang mulai beralih arah.
Ada
yang bertekad tidak mahu lagi mengundi BN berikutan isu ini, manakala
yang lain sehingga bersumpah mengharamkan undi mereka kepada BN selagi
Najib menjadi Perdana Menteri.
Sesuai
dengan mesyuarat perwakilan UMNO yang baru bermula sekarang, apa yang
dilontarkan oleh Muhyiddin ini sebenarnya tidak memberi apa-apa makna
jika tidak disambut oleh bahagian-bahagian lain yang bermesyuarat
selepas ini.
Menjadi
pemimpin yang pertama merasmikan mesyuarat perwakilan tahun ini,
Muhyiddin seolah-olah sudah membuka gelanggang untuk UMNO memilih sama
ada berpencak silat mempertahankan diri daripada serangan musuh dan
mengekalkan kuasa atau sekadar berani bersilat di depan pengantin saja.
Adalah
menjadi peranan dan tanggungjawab UMNO bahagian-bahagian untuk
menghantar mesej yang lebih jelas kepada parti dan pucuk pimpinan bahawa
kemelut 1MDB ini tidak boleh lagi ditangani dengan bodek, ampu atau
pujian semata-mata.
Lagi baik, jika semua orang mulai berhenti daripada mencium tangan Najib selepas ini.
Bodek,
ampu, pujian dan cium tangan hanya akan melekakan Najib untuk menetap
lebih lama di Seri Perdana, sedangkan ianya semakin tidak membawa
kebaikan lagi untuk rakyat seluruhnya.
No comments:
Post a Comment