SHAH ALAMParti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus mendesak pihak berkuasa untuk memastikan siasatan rapi dan telus dilakukan ke atas laporan Wall Street Journal (WSJ), dengan cara membuat laporan polis di seluruh negara oleh sayap pemuda parti itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK).


Menurut Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, semua pimpinan cabang AMK diarahkan membuat laporan polis di negeri masing-masing, dan ini akan menjadi contoh kepada orang ramai untuk membuat perkara yang sama.

“Kami mempunyai barisan kepimpinan yang boleh membimbing orang ramai termasuk individu dan badan bukan kerajaan untuk melakukan perkara yang sama,” kata Shamsul pada sidang akhbar di kediaman Menteri Besar Selangor Azmin Ali pada Sabtu.

Turut hadir sama, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ahli kepimpinan pusat Zakaria Abdul Hamid, Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Dr Afif Bahardin.

Shamsul berkata, ini bagi menunjukkan kepada orang ramai dalam usaha memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak berkuasa berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pihak polis untuk menjalankan siasatan yang serius.

“Kami akan bermula dengan polis kerana tidak pasti sama ada pejabat SPRM dibuka esok atau tidak, tetapi pada hari Isnin, kita akan pastikan Angkatan Muda Keadilan membuat laporan kepada SPRM,” ujarnya.

Semalam WSJ dalam laporannya mendakwa, penyiasat kerajaan Malaysia telah mendedahkan mengenai 1MDB yang telah menyalurkan dana hampir ASD$700 juta secara deposit daripada syarikat-syarikat yang berkaitan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara dalam satu kenyataannya hari ini menyatakan, satu Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan untuk meneliti dakwaan itu ke atas ketiga-tiga syarikat yang terlibat iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd dan satu serbuan telah dibuat bagi merampas semua dokumen yang berkaitan.

“Kami hanya mahu mengingatkan Peguam Negara mengenai kebimbangan sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah selanjutnya walaupun telah merampas dokumen-dokumen dari syarikat berkaitan,” ujar Shamsul.

Beliau juga menyentuh mengenai rancangan parti itu mengadakan ‘Jelajah Amanat Presiden’ yang dijadualkan bermula pada hari Raya ke-6 pada akhir bulan ini.

“Dalam program jelajah itu nanti, kami akan menerangkan dengan lebih mendalam mengenai isu-isu berkaitan Barisan Nasional, kami juga akan menerangkan kepada rakyat mengenai masa depan Pakatan Rakyat,” jelasnya.