KUALA LUMPUR- Walau apa pun isu yang cuba dibangkitkan dalam demosntrasi jalanan, tujuannya adalah satu – untuk menyampaikan mesej dan hasrat rakyat.


Itu adalah di antara pandangan daripada orang ramai yang ditemui The Rakyat Post mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dijadikan isu demonstrasi jalanan.

Bagi seorang pekerja swasta Mohamad Razi, 38, isu ketelusan pemimpin pada hari ini baik di kalangan kerajaan mahupun pembangkang masih samar, rakyat tidak tahu siapa yang benar-benar jujur melaksanakan amanah.

“Dengan demonstrasi paling tidak rakyat mampu menyuarakan pendapat kerana rakyat mempunyai hak, kalau buat report polis secara bersendirian tidak ada sokongan ramai macam tidak berguna, paling tidak itu cara yang ada buat masa ini,” katanya kepada TheRakyatPost.

Jelasnya, rakyat merasai peningkatan kos sara hidup dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak, oleh itu perhimpunan aman adalah salah satu cara demokrasi untuk menyuarakan bantahan.

Pendapat yang sama dikongsikan oleh seorang pemandu teksi sambilan N. R. John, 59, katanya perkara ini adalah disebabkan isu ketelusan daripada kerajaan, lebih lama pihak berwajib berdiam diri dan tidak menjelaskan kepada rakyat sudah pasti cara terakhir adalah demonstrasi di jalanan.

“Kerajaan perlu meletakkan hala tuju mengenai isu ini, pembangunan pesat di negara ini amat dihargai tetapi pengurusan kewangan negara harus berhemah, bagaimana negara mahu menyelesaikan hutang jika tidak dari cukai yang dikutip dari rakyat,” katanya.

Beliau menambah, semasa zaman Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman tidak pernah wujud masalah seperti ini namun peredaran zaman mengubah keperluan dan kehendak.

“Tidak salah melakukan demonstrasi jalanan secara aman kerana dengan cara ini kerajaan akan tahu apa yang rakyat mahukan.”

Terdahulu, aktivis sosial menggesa supaya rakyat berhimpun dan mengepung kawasan Parlimen kerana ia dilihat sudah tidak lagi bebas.

DAP tidak menolak bahawa bakal berlakunya satu demonstrasi jalanan yang akan diadakan secara besar-besaran bagi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penjelasan mengenai tuduhan Wall Street Journal (WSJ).

Jumaat lalu, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.