JOHOR BAHRU - Beberapa calon berpotensi sudah dikenalpasti untuk
dipilih mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Johor.
Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim berkata, calon berkenaan akan
mengisi kekosongan jawatan itu yang dilepaskan Datuk Khairul Anwar
Rahmat baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini sudah ada perbincangan mengenai perkara itu
antara Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan juga
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
"Dalam pertemuan itu, saya ada mengemukakan beberapa nama dan saya
percaya Khairy juga akan berbincang mengenainya bersama beliau (Mohamed
Khaled) sebelum membuat keputusan seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat
Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pulai 2015 di Kompleks Tan Sri Mohamed
Rahmat di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pemuda Umno, Sheikh Ahmad Nafiq Al-Firdaous.
Hahasrin berkata, beliau menjangkakan Khairy akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat ini.
Sebelum ini, Khairul Anwar yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang
serta Ketua Sekretariat Perundangan Umno melepaskan jawatan berkenaan
selepas berbincang secara mendalam bersama ahli keluarga dan mendapat
restu ibu.
Beliau selaku Pengerusi Khairul Group merangkap Pengerusi Pertubuhan
Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), melepaskan jawatan dalam Umno
bagi meneruskan kerja kemasyarakatan di dalam dan luar negara.
Keputusan itu juga bagi memberi ruang untuk memperluaskan operasi
korporat firma ke Asia Barat dan Eropah, terutama bagi memuktamadkan
beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi
antarabangsa yang tertangguh sebelum ini kerana beliau aktif dalam
politik tempatan.
No comments:
Post a Comment