IKHWAN HAZWAN
Menteri Besar Selangor,
Mohamed Azmin Ali hari ini mengancam untuk mendedahkan bukti bahawa
Kerajaan Persekutuan sengaja melengah-lengahkan perjanjian penstrukturan
air. - Foto TRP/Daniel Chan
KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin
Ali hari ini mengancam untuk mendedahkan bukti bahawa Kerajaan
Persekutuan sengaja melengah-lengahkan perjanjian penstrukturan air.
Menurut Azmin, perkara tersebut terpaksa
dilakukan ekoran tindakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
(KeTTHA) sering berdolak-dalik dan menukar pendirian mereka.
Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan merupakan pihak yang perlu dipersalahkan atas kelewatan perjanjian tersebut dimuktamadkan.
“Saya boleh mendedahkan banyak bukti yang menunjukkan kerajaan Persekutuan berdolak-dalik dan sengaja melengahkan.
“Sekiranya perkara ini tidak dapat
diselesaikan, saya tidak ada pilihan melainkan memberitahu kepada umum
tentang tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh
Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Parlimen di sini hari
ini.
Tambah Mohamed Azmin, antara contoh yang
menunjukkan sikap berdolak-dalik Kerajaan Persekutuan ialah sebelum ini
kerajaan Pusat dan Negeri telah bersetuju aset-aset syarikat konsesi
(CCWA) diserahkan tanpa tanah dan persetujuan telah dicapai.
Jelas Azmin, beliau telah mendapat surat
daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus
Ongkili bertarikh 3 Jun menyatakan penyerahan CCWA ini dibuat tanpa
tanah.
“Tetapi hari ini saya mendapat notis
daripada Jabatan Peguam Negara bahawa aset-aset air syarikat konsesi ini
mesti diserahkan dengan tanah.
“Jadi sampai bila perkara ini boleh dimuktamadkan dan jangan dipersalahkan Kerajaaan Negeri Selangor,” ujarnya.
Kata Azmin lagi, sikap berlengah-lengah
Kerajaan Persekutuan tersebut amat mengecewakan kerana pihaknya cuba
sedaya-upaya untuk memuktamadkan perjanjian itu secepat mungkin.
“Saya sendiri mengambil tanggungjawab
bukan saja berbincang dengan menteri tetapi bertemu dengan Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai jawatankuasa kabinet
mengenai air.
“Namun belum ada satu perkembangan positif malahan kementerian masih tetap berdolak-dalih,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment