KUALA LUMPUR: Pergolakan dalam PAS yang belum menampakkan tanda-tanda
pemulihan boleh diselesaikan sekiranya pihak yang terlibat dengan usaha
mewujudkan parti baru kembali ke landasan asal perjuangan dengan
meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata walaupun tewas pada pemilihan
parti yang berlangsung Jun lalu ia bukan alasan untuk keluar PAS dengan
menebus kekecewaan menubuhkan sebuah parti baru.
Tambah beliau, bekas Timbalan Presiden PAS Allahyarham Hassan Shukri
adalah contoh pemimpin yang perlu diikuti anggota parti yang kekal
dengan perjuangan meskipun mengalami kekalahan.
"Mungkin orang yang cakap begitu orang yang tak pernah melihat bagaimana sejarah pertandingan dalam PAS.
"Kalau ingat ketika Allahyarham Datuk Hasan Shukri yang kita anggap
sebagai otai dan senior dalam PAS, dia merupakan individu yang terlibat
dalam PAS selepas balik dari luar negara dan mempunyai kelulusan BA
waktu itu," katanya dalam temubual bersama Antarapos.
Sebaliknya beliau beranggapan masalah dalaman yang berlaku dapat
diselesaikan, namun sifat keikhlasan, kejujuran dan meletakkan agenda
parti melebihi agenda peribadi menjadi kunci penyelesaian masalah itu.
"Waktu itu kerja mencari kita bukan kita mencari kerja tapi dia sanggup
untuk mengorbankan masa depan dia bersama-sama dengan PAS dan bekerja
dengan PAS.
"Ketika itu kalau tak silap saya gaji RM250 sahaja yang anak-anak dia makan atas hasil itu dan sebagainya," katanya.
Idris berkata demikian bagi mengulas mengenai sesetengah pemimpin yang
kalah terutama dari kumpulan progresif, yang masih mengkritik kepimpinan
PAS secara terbuka walaupun pemilihan sudah sebulan berlalu.
Selain itu, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dianggotai
sebilangan ahli PAS bakal bergabung dengan kumpulan bekas pimpinan parti
itu dinamakan G18 dalam usaha menggerakkan penubuhan sebuah parti baru.
Sebelum ini PasMa yang diterajui Datuk Phahrolrazi Zawawi mengumumkan
untuk menubuhkan sebuah parti politik baru bagi menggantikan peranan PAS
dalam pakatan pembangkang.
Rentetan daripada itu, beberapa pemimpin PAS dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti berhasrat membentuk
sebuah gerakan dikenali G18 yang diketuai bekas timbalan presiden
Mohamad Sabu.
Kumpulan itu dikatakan akan mengadakan jelajah di seluruh negara,
mempromosi kempen mereka untuk satu politik ‘Harapan Baru’ atau ‘Harapan dan Impian Baru’ selepas sambutan Aidilfitri.
Contohi keikhlasan Allahyarham Hassan meskipun tewas kepada orang baru
Ujar Idris lagi, Hassan yang pernah memegang beberapa jawatan utama
dalam PAS tidak berasa kecewa apabila tewas kepada Nasharudin Mat Isa
dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden pada 2005.
"Dia merupakan orang yang senior dalam PAS malahan dia lebih senior
daripada Allahyarham presiden sebelum ini tiba-tiba dia kalah pemilihan
Timbalan Presiden dengan orang yang agak junior iaitu ustaz Nasharudin
Mat Isa," katanya.
Sebaliknya jelas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Hassan kekal bersama PAS
dengan menunjukkan asas perjuangannya tidak pernah berubah serta ikhlas
dalam setiap tindakan yang diambilnya.
"Alhamdulillah dia boleh tunjuk komitmen yang baik, lepas kalah
pemilihan esoknya dia turun bersih markas dan sebagainya biasa sahaja.
"Kemudian orang lantik dia sebagai jawatankuasa, kalau fikir nak merajuk saya pun belum tentu sampai tahap demikian," katanya.
Justeru tegas Idris, semangat tersebut perlu disemai dalam setiap ahli
PAS selain bergerak sebagai satu pasukan dan tidak mempunyai sifat
mementingkan diri semata-mata kerana mengejar jawatan.
"Tapi kita anggap ini satu perkara yang pada saya mengajar kita
bagaimana bentuk pengorbanan, mungkin saya boleh cakap begitu sebab saya
belum pernah alami macam dia.
"Tapi dia telah buktikan bagaimana bentuk keikhlasan yang ada pada dia
dalam perjuangan sehingga sanggup menjadi khadam atau orang biasa
daripada orang senior kalah dengan orang junior," katanya.
No comments:
Post a Comment