Friday, May 8, 2015

Tabung Haji beli tanah RM188.5 juta, sama nilai faedah 1MDB, kata Rafizi

THE MALAYSIAN INSIDER


PKR persoal pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji pada harga jualan hampir sama nilai faedah hutang syarikat dana negara itu, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mei, 2015.PKR persoal pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji pada harga jualan hampir sama nilai faedah hutang syarikat dana negara itu, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insider





























PKR hari ini mempersoalkan pembelian tanah Lembaga Tabung Haji (TH) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan berkata harga jualan RM188.5 juta itu lebih kurang sama dengan nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu diselesaikan syarikat dana negara yang bermasalah itu.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata beliau tidak menafikan tanah 1.56 ekar yang terletak di projek Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur itu berpotensi dimajukan, tetapi berkata 1MDB tidak wajar membuat untung daripada tanah milik kerajaan persekutuan.

"Apakah penggunaan duit pendeposit TH ini bertujuan membantu 1MDB membayar faedah pinjamannya?," soal Rafizi dalam kenyataannya hari ini.


"Keadaan ini hampir sama dengan tindakan kerajaan persekutuan menyuntik RM950 juta ke dalam 1MDB pada pertengahan Mac lalu iaitu pada tarikh hampir sama dengan tarikh bayar faedah hutang 1MDB,” katanya. Mengikut laporan akhbar perniagaan The Edge, 1MDB perlu membayar faedah pinjaman sebanyak AS$52.5 juta (RM188.5 juta) minggu depan.

"Saya tidak menafikan tanah 1.56 ekar yang dibeli itu berpotensi untuk dimajukan. Namun, tanah itu pada asalnya adalah tanah milik kerajaan persekutuan dan tidak sewajarnya 1MDB membuat untung atas angin dengan mengambil wang pendeposit TH; lebih lagi jika dana itu kemudiannya digunakan untuk membayar faedah hutangnya," kata Rafizi.

Rafizi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berupaya menghentikan urus niaga antara TH dengan 1MDB berhubung pembelian tanah TRX.

Katanya, pembelian tanah seluas 1.56 ekar oleh pengendali ibadah haji daripada 1MDB yang melibatkan pembayaran RM188.5 juta wang pendeposit mereka kepada 1MDB akan selama-lamanya dilihat sebagai usaha menyelamatkan (“bail-out”) 1MDB.

"Tanah itu pula dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh 1MDB dari kerajaan persekutuan iaitu pada harga RM74.20 satu kaki persegi dan dijual pada harga berkali-kali ganda mahalnya (iaitu pada harga RM2,779 satu kaki persegi) kepada Tabung Haji," kata ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau turut mengesyorkan beberapa kaedah bagi membolehkan TH membeli tanah berkenaan, namun tidak memberikan kesan kepada pendeposit tabung tersebut.

"Ada dua cara terbaik TH membeli tanah tersebut tanpa mengorbankan kebajikan pendeposit TH.

"Pertamanya, membeli terus tanah itu dari kerajaan persekutuan pada harga diskaun yang diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada 1MDB. Keuntungan yang dibuat oleh TH di atas pembelian ini bolehlah dikira sebagai sumbangan kerajaan persekutuan kepada pendeposit miskin untuk mereka mencukupkan tabungan untuk naik haji; atau membeli tanah tersebut dari 1MDB pada harga “forced sale value” atau harga lelongan kerana 1MDB benar-benar terdesak untuk mendapatkan wang tunai," katanya.

"Selalunya, syarikat yang bermasalah melelong harta mereka pada harga yang betul-betul murah dan dalam kesempatan beginilah TH boleh mendapat keuntungan yang baik dari pembelian itu," tambahnya.

Rafizi bagaimanapun berkata, pihaknya yakin, perjanjian jual beli tanah yang melibatkan dana sebanyak RM188.5 juta ini belum dimuktamadkan kerana hak milik belum dipindah milikkan kepada TH.

"Oleh yang demikian, kontrak ini belum dikira muktamad dan 1MDB belum memenuhi semua syarat jual beli."

Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau menggesa Najib dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menggunakan kuasa mereka sekali gus menghentikan urus niaga tersebut.

"Oleh yang demikian, ada peluang untuk menghentikan jual beli ini untuk membolehkan dana RM188.5 juta milik pendeposit TH (termasuk simpanan saya sendiri) tidak disentuh.

"Kuasa untuk meluluskan pindah milik tanah selepas sesuatu urusniaga jual beli adalah kuasa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab kepada menteri wilayah persekutuan," katanya.

PKR juga katanya, akan berusaha berterus-terusan supaya Najib akan menghentikan perkara itu.
Rafizi berkata, TH berupaya mendapatkan tanah berkenaan dengan harga lebih rendah.

Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan katanya perlu  memutuskan untuk meluluskan permohonan pindah milik tanah dari 1MDB kepada TH.

"Oleh kerana 1MDB gagal memastikan hak milik tanah ditukar nama kepada TH, ia gagal memenuhi syarat jual beli. Kontrak itu secara automatik juga akan terbatal

"Oleh kerana kontrak terbatal, maka 1MDB tidak ada pilihan lain kecuali memulangkan kembali wang RM188.5 juta yang telah diambilnya dari TH," kata Rafizi.

"Semua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan Adnan yang bertanggungjawab dengan urusan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Najib yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB," katanya.

Selain itu, beliau turut berkata, akan memanggil satu perjumpaan dengan semua pendeposit TH pada hari Rabu depan, 13 Mei 2015 jam 9 malam  bagi melancarkan kempen mendesak supaya kerajaan persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan penggunaan dana TH ini.

No comments: