MALAYSIAKINI
Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona dan rakan niaganya dari
India, Boby Chemmanur, melancarkan kedai emas ke-37, 'Boby &
Maradona Gold Diamond Jewellery', di ibu negara semalam.
Maradona, yang memakai jersi biru bersama-sama bintang filem India,
Karisma Kapoor merasmikan cawangan pertama di rantau Asia Tenggara, di
pusat beli-belah NU Sentral di Kuala Lumpur.
Sejumlah 1,000 orang berkumpul di pusat beli-belah itu untuk melihat
legenda bola sepak dunia itu dan bintang Bollywood tersebut.
Sementara itu, Boby, yang juga Pengerusi dan Pengarah Urusan, Chemmanur
International Jewellers, berkata keuntungan yang diperoleh daripada
jualan barangan kemas di cawangan tersebut akan disumbangkan kepada
rumah kebajikan di Malaysia.
"Secara langsung, kami tidak akan menerima sumbangan derma tetapi
sebaliknya anda perlu membeli emas dan berlian untuk menderma," katanya
kepada pemberita selepas perasmian kedai tersebut.
Beliau berkata penglibatan Maradona dengan kerja-kerja amal akan menjadi
inspirasi kepada orang lain untuk membuat sumbangan kepada badan-badan
amal.
Beliau berkata syarikat itu, yang mempunyai cawangan di Emiriah Arab
Bersatu (UAE), Kuwait dan majoriti di India, telah memilih Malaysia
untuk cawangan pertama di rantau ini kerana rakyat Malaysia dikenali
sebagai "sangat baik dan pemurah dalam soal membuat amal".
Maradona, yang bermula sebagai duta jenama untuk Boby Chemmanur International Group, kemudian menjadi rakan perniagaan Boby.-Bernama
No comments:
Post a Comment