Friday, May 29, 2015

Ubah dasar penswastaan ‘Mahathirisme’- Khalid Ibrahim

 
Model Mahathirisme mewujudkan golongan rentier yang berkuasa di belakang tabir dalam menentukan siapa bakal menjadi Perdana Menteri serta menjatuhkan yang sedia ada.


khalid-ibrahim_mahathir_600


KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahkan dasar penswastaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mewujudkan orang tengah yang mendapat keuntungan atas angin atau ‘rentier’.

Katanya, golongan itu sangat berkuasa sehingga mampu menentukan jatuh bangun seorang pemimpin politik termasuk Perdana Menteri.

Bekas Menteri Besar Selangor berkata, golongan rentier ini diberi projek, tender atau konsesi hasil hubungan istimewa dengan pemerintah walaupun tidak mempunyai kepakaran dan modal.

Sebagai balasan, kelas ‘rentier’ itu akan ‘menaja’ atau ‘menderma’ dalam aktiviti politik pihak kerajaan sehingga terbentuk satu hubungan selesa.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, tidak hairanlah jika ‘produk’ Mahathirisme ini mempunyai kuasa di belakang tabir dalam menentukan siapa bakal menjadi Perdana Menteri serta menjatuhkan yang sedia ada.

“Saya sedar mungkin sesetengah pihak mahu mempertahankan bahawa dasar penswastaan selama 20 hingga 30 tahun ini telah mencipta golongan usahawan dan korporat berjaya terutama di kalangan Bumiputera sebagai bukti kejayaan dasar affirmatif ‘agenda Bumiputera’.

”Namun, kita tidak dapat nafikan bahawa dengan model Mahathirisme ini, hanya 20-30 orang sahaja daripada 30 juta rakyat Malaysia telah terpilih sebagai anak didik atau kroni,” katanya dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sehubungan itu, Khalid mencadangkan model penswastaan ‘Mahathirisme’ dirombak segera supaya tidak timbul lagi kes “privatisation of profits’ dan ‘nationalisation of losses” di mana kerajaan akhirnya terpaksa mengguna pakai dana awam untuk mengambil alih syarikat swasta yang gagal.

“Justeru, bermula hari ini, saya syorkan agar hanya pengurusan dan kutipan hasil sahaja yang boleh diswastakan manakala aset kekal milik kerajaan,” katanya.

Menyentuh pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Khalid mencadangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengubah pendekatan supaya tidak dianggap ‘gula-gula politik’.

Antaranya, Khalid mencadangkan pemberian BR1M berdasarkan konsep produktiviti iaitu hanya warga negara Malaysia yang bekerja di bawah pendapatan paras minimum layak menerimanya supaya bilangan guna tenaga dapat ditingkatkan.

“Atau digantikan dengan pemindahan tunai bersyarat untuk tujuan spesifik yang ditetapkan sepeti kupon makanan, baucar yuran pengajian tinggi, bantuan perumahan (sewa atau pemilikan), bantuan kecemasan atau bencana dan sebagainya,” katanya.

No comments: