KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman
Razali enggan mengaitkan pemilihan parti pada Jun ini sebagai usaha
dalam menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama.
Sebaliknya, ia lebih kepada pertembungan antara dua atau lebih pihak
yang mempunyai strategi perjuangan PAS yang berbeza daripasa struktur
asal.
"Tidak ada istilah guling. Ini adalah proses demokrasi maka biarkan
mereka bertanding. Istilah guling wujud jika Hadi dijatuhkan sebelum
masanya.
"Ada pihak tertentu membuat pelbagai serangan individu terhadap hadi,
dan itu adat dalam perjuangan, akan ada yang tidak suka kita. Walaupun
ahli-ahli sendiri (buat serangan) yang digunakan oleh musuh dari luar
(parti).
"Jika ada pun pertembungan, adalah mereka yang mahu mengekalkan asas
perjuangan PAS dan mereka yang cuba membawa pendekatan baru dalam PAS
yang (mungkin) dilihat tidak selari, tidak kena...," tegasnya ketika
ditemui Antarapos, baru-baru ini.
Muktamar PAS Kali ke-61 yang akan diadakan minggu depan dikatakan
menjadi medan penting bagi dua kem utama di dalam parti itu. Kem
tersebut adalah daripada golongan profesional dan ulama.
Golongan profesional didakwa cuba menjalankan protes dengan mahu
menggantikan barisan kepimpinan ulama kepada golongan yang lebih
progresif dan moden serta mesra dengan Pakatan Rakyat (PR).
Manakala golongan ulama pula dilihat berterusan memperjuangkan idea
asal PAS walaupun dilihat sering bertentangan dengan persepakatan
bersama di dalam gabungan pembangkang itu.
Keengganan golongan ulama yang dipimpin Hadi untuk patuh kepada
beberapa dasar Pakatan akhirnya memberikan kesan buruk kepada PAS dari
segi hubungan dan kerjasama.
"Pertembungan ini berlaku antara mereka yang mempertahankan dasar
parti, dasar Islam ke Putrajaya dengan Islam. Bukan PAS dengan orang
lain atau tunduk dengan pandangan orang lain.
"PAS kena jadi diri sendiri, bertindak dengan rangka kerja yang dibuat
oleh parti sendiri," demikian menurut Khairuddin merujuk kepada
pertembungan dua kem berkenaan.
Khairuddin, yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus juga menggesa
rakan-rakannya, DAP dan PKR untuk menghormati PAS tanpa mencetuskan
sebarang konflik yang mungkin akan memberi kesan kepada pemilihan parti
itu.
Ia berikutan serangan berterusan DAP terhadap PAS dan Hadi, dengan
mengaitkan kerjasama tiga parti itu di dalam Pakatan akan berakhir
selepas Muktamar PAS dalam tempoh dua minggu akan datang.
No comments:
Post a Comment