THE MALAYSIAN INSIDER
Bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada salahnya menggesa
Datuk Seri Najib Razak untuk berundur kerana masalah dalam negara yang
dibuat perdana menteri itu lebih buruk berbanding penyandang jawatan
berkenaan sebelum ini.
Dr Mahathir berkata pemimpin yang dipilih rakyat juga tidak terlepas
daripada gesaan meletakkan jawatan walaupun penggal pemerintahannya
belum berakhir.
“Perdana menteri sebelum ini juga dipilih (menerusi pilihan raya) malah dengan majoriti yang lebih besar.
“Namun beliau juga dipujuk untuk berundur oleh perdana menteri
sekarang,” kata Dr Mahathir menerusi blog popularnya, chedet.cc hari
ini.
Najib pada Rabu berkata kebanyakan tuduhan yang dilemparkan Dr Mahathir
terhadapnya "tidak adil dan mengelirukan” selain menggesa biar generasi
berikutnya mentadbir negara.
"Malaysia ialah sebuah demokrasi. Saya dilantik oleh Umno, dan rakyat negara ini, untuk memimpin mereka.
"Oleh itu, saya mempunyai mandat mereka dan saya bertanggungjawab
kepada parti dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu," kata Najib
dalam blognya www.najibrazak.com.
Dr Mahathir berkata tiada cakap-cakap mengenai perdana menteri sebelum
ini yang berbelanja mewah, membeli barang-barang mahal dan berkehidupan
mewah.
Katanya, walaupun mungkin khabar angin yang didengarnya tidak benar
tetapi perkara berkenaan tidak pernah berlaku kepada perdana menteri
sebelum ini.
“Cakap-cakap seperti itu pastinya kerana cara hidup berbeza yang difikirkan sebagai seorang perdana menteri.
“Oleh kerana itu dan banyak sebab lain, Najib patut letak jawatan,” katanya.
Perdana menteri paling lama menerajui negara itu turut mengulangi
sokongan yang ditunjukkan kepada Najib adalah palsu dan tidak membawa
peningkatan undi kepada Barisan Nasional (BN).
“Khalayak yang ramai memberi sokongan, kita pernah melihat demonstrasi
seperti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Hasilnya lebih
buruk berbanding PRU12.
“Demonstrasi berkenaan tidak menterjemahkan sokongan kepada Najib. Mereka datang kerana pelbagai insentif,” katanya.
No comments:
Post a Comment