Sunday, May 31, 2015

Jika itu bukan tugas Azizah...tanggungjawab siapa?

 Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Tugas hakiki Ketua Pembangkang adalah memastikan hubungan ketiga-tiga parti komponen dalam Pakatan Rakyat dalam keadaan baik dan tidak bertelagah.
 
Justeru Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan menyanggah kenyataan Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul hari ini bahawa bukan 'tugas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memastikan pergeseran antara PAS dan DAP ditamatkan'.
 
Azmi kemudiannya mempersoalkan, jika bukan Azizah yang memikul tanggungjawab itu siapa yang akan berbuat demikian? 
   
"Kenyataan itu memang bercanggah dengan kenyataan tanggungjawab sebenar (ketua Pembangkang). Sebab itu (merapatkan kerjasama) adalah tanggungjawab hakiki seorang ketua pembangkang," katanya kepada Antarapos.
 
"Jawatan ketua pembangkang itu amat penting sebenarnya kerana tugas utama ketua pembangkang diluar parti mereka adalah untuk membentuk kabinet bayangan.
 
"Tetapi sehingga hari ini tidak dapat dibentuk dan jawatan itu amat sedih apabila telah disalah gunakan untuk agenda pihak tertentu. Jadi, kalau kita nak menjerumus kepada jawatan ketua pembangkang sepatutnya tidak berlaku tetapi telah berlaku kerana kepentingan parti diutamakan dalam hal ini," tegasnya.
 
Johari pada sidang medianya pagi tadi berkata Azizah 'tiada kuasa' untuk memulihkan hubungan tegang antara DAP dan PAS dan bukan menjadi tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.
 
Azmi bertegas, jika Johari dan PKR mengambil ketetapan bahawa Azizah hanya berperanan di Parlimen sahaja ia akan menguatkan persepsi bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hanya boneka DAP. 
 
"Jawatan ketua pembangkang yang disandang oleh WAWI adalah simbol sahaja dan yang menjalankan operasi (tugas ketua pembangkang) setiap hari adalah orang lain yang asalnya dari parti DAP. Saya anggap sebagai simbol sahaja...yang boleh dikawal oleh DAP.
 
"Jadi, saya melihat jawatan ketua pembangkang itu hanyalah helah mereka yang berada dalam PR khususnya parti yang berada dalam kedudukan yang agak kuat untuk mengawal perjalanan PR itu sendiri," jelasnya.
 
Azizah sebelum ini menjadi sasaran kritikan banyak pihak kerana bercita-cita besar mahu menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
 
Ini kerana beliau gagal menonjolkan prestasi memberangsangkan sebagai ADUN Kajang, sementelah banyak isu berbangkit belum diselesaikan Azizah, sejak memenangi pilihan raya kecil (PRK) DUN itu.
 
"Memang sebelum ini pun kemampuan beliau dipersoalkan, malah tanggungjawab beliau sebagai ADUN Kajang juga tidak dipenuhi dan juga sebagai ahli Parlimen (Permatang Pauh).
 
"Dan saya menilai lantikan beliau sebagai Ketua Pembangkang bukan kerana kebolehan beliau tetapi kerana agenda tertentu terutama sekali bagi kepentingan DAP untuk mengawal Pakatan Rakyat," katanya.
 
 

No comments: