Thursday, May 7, 2015

"Kiamat Sudah Semakin Dekat"

shahbudindotcom


Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Rompin sudah pun diketahui. Di luar jangkaan sama sekali, majoriti undi BN merosot dengan teruk berbanding pilihanraya umum 2013 lalu.

Jika dalam pilihanraya umum lalu, majoriti BN ialah 15,114 undi, kini angkanya makin mengecil dengan pencapaian hanya 8,895 undi saja. Keputusan ini memperlihatkan BN kehilangan hampir separuh majoritinya.

Dalam pilihanraya kecil di mana hampir semua menteri, pemimpin negeri,  jentera kerajaan, peruntukan dan segala macam kelebihan lainnya dipertaruhkan untuk memikat hati rakyat, tetapi hanya kemenangan sekecil ini yang mampu dicapai, ia tidak lain adalah petanda buruk bagi UMNO dan BN.

Hakikatnya, selain Rompin memang dikenali sebagai kubu kuat BN, ia juga merupakan kawasan Parlimen di negeri yang menjadi tapak politik Perdana Menteri, Najib Razak sendiri.

Kalau di negeri Pahang dan dalam pilihanraya kecil pula, keputusan ini ibarat "kiamat makin dekat" bagi UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Ini menandakan penyokong tradisi UMNO iaitu rakyat luar bandar dan peneroka Felda sudah mulai terbuka minda mereka terhadap apa yang berlaku dalam negara. Mereka bukan lagi totok kepada UMNO dan BN.

Sudah tentu UMNO dan BN menyalahkan peratusan turun mengundi yang merosot sebagai punca pencapaian yang kurang memberangsangkan ini, tetapi secara rasionalnya keputusan ini tidak lain adalah tanda penolakan terhadap Najib sebagai Perdana Menteri.

Mungkin sebab lain ialah kerana penolakan rakyat terhadap GST dan masalah berkaitan Felda, terutama harga sahamnya yang juga sudah hilang lebih separuh daripada harga asal ketika disenaraikan di pasaran saham dahulu.

Apa pun, semuanya merupakan beban yang terangkum di bahu Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Ini kerana GST dilaksanakan oleh Najib dan Felda pula terletak di bawah jagaannya.

Isu GST dan Felda yang ditambah dengan beban lain yang membelit Perdana Menteri seperti 1MDB, Sirul, Rosmah serta kehilangan sokongan Tun Mahathir, telah menjadikan Najib semakin tidak diyakini lagi untuk terus memimpin negara ini.

Kalau di Rompin yang merupakan kubu kuat BN sudah menunjukkan penolakan yang ketara, sudah tentulah keputusan di Permatang Pauh pada 7 Mei nanti akan merangsang arus yang lebih hebat lagi.

Melalui keputusan ini yang tidak dapat disangkal lagi sebagai bukti penolakan rakyat terhadap Najib, secara tidak langsung ia adalah "tonik tambahan" kepada perubahan yang sedang digerakkan oleh Tun Mahathir.

Ini adalah petanda bahawa jangkaan Tun Mahathir BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya, semakin menunjukkan tanda-tanda kebenarannya.

Bekas Perdana Menteri itu pasti akan meneruskan serangan pada tahap yang lebih serius lagi selepas ini untuk memaksa Najib berundur demi menyelamatkan UMNO dan BN. Rakyat pula sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk bersama-sama Tun Mahathir.

Berdasarkan kebijaksanaan pengundi di Rompin ini, UMNO dan BN sudah tidak boleh diselamatkan lagi jika Najib berdegil mahu terus menghuni Seri Perdana. Rompin sudah menunjukkan tiada masa depan lagi buat UMNO dan BN selagi Najib menjadi Perdana Menteri.

Blog ini semalam menyarankan agar pengundi Rompin bertindak bijak dengan mengurangkan majoriti kemenangan BN bagi memberi mesej kepada Najib bahawa rakyat semakin tidak bersama dengannya dan hanya dengan adanya mesej itu yang disusuli dengan desakan ke arah pengunduran Najib, barulah masa depan parti dapat diselamatkan.

Apa pun, sekalung tahniah kepada pengundi Rompin kerana tidak meminggirkan diri daripada perubahan. 
 
 

No comments: