Tuesday, May 19, 2015

Khairy, sebelum terhantuk eloklah terngadah

khairy jamaluddin

Roketkini.com


SEGAMBUT: Ketika banyak dana negara dibelanjakan secara tidak berhemah, adalah lebih baik Kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah tegas ke atas atlet yang bakal menyertai pesta Sukan SEA bulan depan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata sebelum ini kerajaan terpaksa membayar RM150,000 kepada pihak berkuasa apabila ada atlet bermasalah didenda.

“Masalah disiplin atlet negara bukan saja memberi kesan kepada prestasi mereka, bahkan merugikan negara apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diarah membayar denda bagi pihak atlet tidak bertanggungjawab,” terang Lip Eng.

Tahun lalu, imej Malaysia terpalit arang apabila anggota kontinjen negara yang menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Olimpik di Glasgow didenda kerana salah laku.

Ekoran kecuaian itu, MOM wajib menjelaskan denda dan gantirugi sehingga RM 150,000.

Menurut Lip Eng, sikap sambil lewa atlet negara dalam hal disiplin itu menimbulkan rasa kesal semua pihak.

Justeru itu, Lip Eng menggesa Kementerian Belia dan Sukan mengenakan syarat lebih ketat terhadap atlet, jurulatih dan pegawai terlibat di sukan SEA di Singapura Jun ini.

“Mana-mana atlet atau pegawai yang bersalah mesti didenda, digantung tugas atau dipecat untuk menjadi contoh bagi generasi akan datang,” katanya. – Roketkini.com


No comments: