Tuesday, May 19, 2015

Kes Altantuya terpendam 9 tahun kerana konspirasi?

ALTANTUYA

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Jawapan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam blog beliau nampaknya masih tidak dapat merungkai pelbagai tanda tanya, sebaliknya mengundang lebih banyak persoalan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri kenyataan Najib yang lebih berupa jawapan kepada soalan lazim (FAQ) membuka pemikiran jika berlaku konspirasi selama sembilan tahun antara pihak berkuasa untuk mengelakkan motif pembunuhan gadis Mongolia, Altantunya Sharibuu didedahkan.

“Apakah wujud ‘konspirasi’ selama sembilan tahun melibatkan polis, peguam negara dan badan kehakiman untuk mengelakkan persoalan tentang motif pembunuhan Altantuya?” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu hari ini.

Ujar Kit Siang, persoalan tersebut penting difikirkan kerana kes tersebut sudah disiasat, dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Dua bekas anggota polis pula disabitkan kesalahan membunuh Altantuya.

Dalam blog rasminya, antara jawapan Najib mengenai pembunuhan Altantuya adalah menekankan bahawa keputusan penghakiman tersebut “membawa keadilan kepada semua orang, dan yang paling penting kepada keluarga mangsa, tertuduh dan juga kepada saya.”

Najib semalam mengemukakan 13 jawapan pelbagai isu, dengan kes pembunuhan Altantuya menjadi isu pertama disenaraikan.

Ia dilihat disiapkan Najib untuk menjawab kritikan pedas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Dr Mahathir berkata, kes pembunuhan Altantuya melibatkan nyawa manusia dan “amat zalim” jika tertuduh dibiarkan menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

Najib dalam bidasannya turut mempersoalkan mengapa “individu berpengaruh (dengan) pelbagai sumber” membangkitkan dan mengaitkan beliau dalam kes tersebut.

Kata Kit Siang, sekiranya Najib benar-benar mengambil berat tentang keadilan untuk dirinya, dia juga harus mengarahkan siasatan penuh bagi mendedahkan pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

“Adakah Najib bersedia menyatakan Mahkamah Persekutuan malaysia sudah membawa keadilan kepada semua pihak yang terlibat?” katanya. – Roketkini.com


No comments: