MALAYSIAKINI
Tindakan UiTM Melaka menggantung pengajian Muhammad Hasrul Haris Mohd
Radzi atas kesalahan merakam gambar potret dirinya (selfie) ketika
Majlis Konvokesyen semalam begitu mengejutkan para mahasiswa.
Biro Mahasiswa AMK juga amat sedih dengan tindakan itu. Sepertimana
dijelaskan Muhammad Hasrul, tindakannya itu hanya simbolik untuk
menunjukkan bakat beliau sebagai graduan jurusan fotografi.
Beliau tetap dikenakan tindakan walau sudah memohon maaf. Perkara ini
menunjukkan piawai akademik institusi pengajian tinggi Malaysia yang
amat rendah.
Jika dibandingkan lagi, ada mahasiswa di UM boleh menari zapin di atas pentas ketika mengambil ijazah konvokesyen mereka.
Mana letaknya keadilan dalam memberikan hukuman? Adakah ini standard UiTM?
Jika dibandingkan lagi, ada cadangan beberapa pihak supaya seorang
pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberi peluang kedua kerana
kesalahan merakam dan memiliki bahan pedofilia di London.
Ada pihak yang mencadangkan agar pelajar tersebut, Nur Fitri Azmeer,
diberi peluang meneruskan pengajiannya di dalam negara setelah selesai
menjalani hukuman penjara di London.
Cadangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.
Malang juga bagi mahasiswa yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan
bersuara terus digantung pengajian tanpa diberi peluang kedua.
Antaranya Adam Adli, Safwan Anang, Fahmi Zainol dan juga kes terbaru
melibatkan lapan siswa UM. Di manakah letaknya kebebasan bersuara
mahasiswa?
Biro Mahasiswa AMK menggesa agar UiTM bertindak lebih matang dalam
menilai dan menjatuhkan hukuman terhadap mahasiswa. Bagaimana mahasiswa
hendak matang kalau pentadbir akademik mahasiswa sendiri masih tidak
matang?
EDIKOUP LAKIP SEDIYANTO ketua biro mahasiswa AMK Malaysia.
No comments:
Post a Comment