Selepas berhijrah ke Las Vegas memulakan
kehidupan baharu, Anita Sarawak sentiasa berhubungan dengan adiknya,
Noorkumalasari, namun sejak Mac lalu mereka terputus hubungan.
PETALING JAYA: Anita Sarawak, satu nama sangat berpengaruh dalam dunia hiburan tempatan sejak tahun 1980an lagi.
Dia, antara selebriti yang masih mempertahankan tiaranya dalam hati setiap peminat serta penggiat seni hiburan, khususnya muzik. Namun sejak tahun 2013, kelibat artis ini sudah tidak kelihatan.
Lebih buruk apabila dia terputus 0hilang hubungan dengan adik-beradiknya sendiri sejak bulan Mac lalu.
Salah seorang adiknya, Noorkumalasari Mohd Taib akui, dia agak risau apabila kakaknya sudah hampir dua bulan tidak dapat dihubungi.
“Ini jangka masa yang paling lama kami tak berhubungan dan ia agak merisaukan. Apapun, saya berharap dia selamat dan menjalani kehidupan yang diingininya iaitu jauh daripada dunia glamour hiburan, menjadi seorang isteri, wanita yang biasa,” kata Noorkumalasari dalam satu temubual eksklusif dengan The New Paper.
Anita Sarawak atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib merupakan anak kepada seniwati filem Melayu yang mashyur iaitu Allahyarham S. Roomai Noor dan Allahyarhamah Siput Sarawak.
Wanita kelahiran Singapura yang dianggap diva dunia hiburan tempatan, Anita, hilang dari radar kegemerlapan dunia hiburan selepas 2013 apabila bertekad untuk kembali ke Las Vegas, Amerika Syarkat dengan suaminya seorang warga British, Mohamad Mahathir Abdullah untuk memulakan kehidupan yang lebih privasi dan tertutup.
Kehilangannya yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang berita atau laporan atas permintaan Anita sendiri yang tidak mahu ditemuramah atau didekati media.
“Saya pernah beritahu dia, wartawan mencarinya. Tetapi di berkata, bagi tahu mereka saya tidak berminat lagi’,” kata Noorkumalasari.
Dia berkata, Anita seronok hidup secara sederhana selepas bersara dari dunia hiburan.
Anita pernah berada di Las Vegas sekitar tahun 1985 hingga 2001, membuat persembahan pentas sebelum kembali ke Singapura dan kemudian berhijrah ke Malaysia.
“Sewaktu detik-detik persaraan dari industri hiburan, Anita berhadapan masalah sakit lutut. Dia mahu beri tumpuan pada kesihatanya. Namun, dia sayangkan peminatnya dan selalu mengingati mereka,” cerita Noorkumalasari.
Dia akui, bukan mudah bagi kakaknya mengambil keputusan yang sangat besar dalam hidupnya, iaitu bersara daripada dunia hiburan. Sememangnya, muzik dan hiburan sebahagian daripada darah dagingnya sendiri.
“Saya harap semua orang akan menghormati keputusannya,” pintanya.
Mengenang nasib kakaknya lagi, Noorkumalasari berharap Anita sedang sibuk berjelajah atau memperlahankan aktiviti komunikasinya.
“Dalam masa yang sama saya risau jika dia sedang sakit atau tidak sihat. Saya merasakan sesuatu yang tidak baik tetapi cuba memtenteramkan diri dengan mengharapkan yang terbaik sahaja,” katanya yang tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kakaknya setiap kali solat.
Noor Kumalasari berkata, dia sangat resah apabila tidak menerima sebarang panggilan dari kakaknya pada hari kelahirannya pada bulan lalu.
Katanya, ia agak janggal kerana Anita tidak pernah tidak menghubunginya pada hari jadinya sebelum ini.
Anita juga hilang hubungan dengan semua adik-beradik yang lain. Semua pesanan ringkas, panggilan telefon tidak terjawab.
Bukan itu sahaja, kawan baik Anita juga tidak dapat mengesan Anita termasuk mencari tempat tinggalnya di Las Vegas.
Di sebalik ketiadaan Anita, pelbagai khabar angin tersebar menyatakan beliau sudah berpisah dengan suaminya dan telah mula berhijab.
Bagi Noorkumalasari, semua khabar angin itu tidak benar.
“Itu sebabnya saya mahu dia menghubungi saya dan memberitahu segala-galanya tentang kesahihan khabar angin itu,” katanya.
Ditanya tentang hubungan mereka berdua, Noorkumalasari memberitahu mereka sangat serasi dan saling menasihati.
“Dia mungkin berada jauh tetapi saya amat sayangkan dia sepenuh hati. Saya sentiasa mengingatinya dalam doa saya.”
No comments:
Post a Comment