MALAYSIAKINI
Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia akibat terjerut
kain buaian di rumah keluarganya di Taman Century Garden di Johor Bahru
kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Supt Abdul Wahib Musa
berkata Brian Lim meninggal ketika ibunya mahu menghantar bayinya ke
klinik berhampiran kira-kira 4.30 petang.
"Sebelum kejadian, ibunya memberi makan kepada ketiga-tiga anaknya
sebelum menyuruh mereka masuk tidur di bilik utama. Mangsa diletakkan
dalam kain buaian.
"Setelah itu dia masuk ke dapur membuat kerja rumah dan setelah selesai,
dia masuk semula ke bilik berkenaan namun mendapati mangsa telah
terjatuh ke bahagian lapis sarung nyamuk kain buaian itu dengan
kepalanya tergantung keluar," kata Abdul Wahib yang dihubungi Bernama
semalam.
Beliau berkata panik dengan kejadian itu, ibu berkenaan terus mengangkat
badan anaknya itu namun mendapati mangsa tidak lagi bergerak.
"Dia cuba menyelamatkan anaknya dengan memanggil ambulans untuk ke
klinik berhampiran. Namun apabila ambulans sampai, mangsa sudah tidak
bernyawa.
"Suaminya yang sedang bekerja di Singapura sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu," kata Abdul Wahib.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan
kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001.
- Bernama
No comments:
Post a Comment