Selasa, 17 Disember 2013

Tiada keperluan wajib pendaftaran pengguna Facebook, kata Shabery Cheek

OLEH DIYANA IBRAHIM
















Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata setakat ini kementeriannya mendapati tiada keperluan untuk menerima cadangan mewajibkan pengguna laman sosial Facebook didaftarkan sebagai usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan laman siber.

Beliau berkata, cadangan itu mustahil untuk dilakukan berikutan jumlah pengguna laman sosial berkenaan mencecah 15 juta orang.

Katanya, jika kerajaan tetap ingin melaksanakan sistem pendaftaran sebagai lesen membenarkan rakyat di negara ini menggunakan laman sosial terkenal itu, ada kemungkinan Jabatan Pendaftaran Facebook Negara perlu ditubuhkan.

“Itu sebabnya kita tidak nampak ada keperluan untuk pengguna laman sosial di negara ini untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kita juga mengambil kira jumlah pengguna yang begitu ramai dan sudah pasti tidak relevan sekiranya kita terpaksa menubuhkan Jabatan Pendaftarahan Facebook Negara," katanya dalam sidang Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Shabery berkata, setakat  ini SKMM mengenal pasti 36 kes melibatkan salah guna di laman sosial iaitu kes terdapat unsur penghinaan dan fitnah antaranya yang berkait isu Syiah.

"SKMM tidak mempunyai keupayaan  mengawal sepenuhnya penggunaan laman Facebook kerana pelayan laman sosial tersebut beroperasi di Amerika Syarikat (AS) dan ia pasti melibatkan kos yang amat tinggi.

"Kita sentiasa mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penggunaan mereka di laman siber supaya tidak timbul perkara yang menyentuh sensitiviti," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar.

Selain itu, katanya, undang-undang sedia ada di negara ini mencukupi untuk menangani isu berkait salah guna laman sosial.

Tiada ulasan: