Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membidas kenyataan angkuh Putrajaya yang tidak memikirkan tentang kebajikan rakyat dalam isu kenaikan tol.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang meminta orang ramai menggunakan jalan biasa sekiranya kenaikan tol terlalu tinggi.
"Kenyataan supaya menggunakan jalan lain adalah tidak wajar dan menunjukkan kurang akauntabiliti.
"Kami ingin mengingatkan Menteri Persekutuan yang tidak dipilih rakyat supaya berhenti merendahkan rakyat dan tidak angkuh apabila membuat kenyataan," kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, kenaikan tol adalah perkara serius yang akan memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang tiada pilihan selain menggunakannya.
"Ia adalah mengenai keperluan dan hanya kerana mempunyai konsesi tidak bermakna harga boleh dinaikkan tanpa mempertimbang keperluan dan kekangan kewangan rakyat," katanya.
Beliau juga mendesak Putrajaya agar tidak bersembunyi di belakang perjanjian rahsia dan mencabar rakyat dengan senario ambil atau tinggalkannya.
"Cadangan kenaikan ini dengan kenaikan harga lain adalah ancaman besar kepada kebajikan rakyat," katanya.
Azmin berkata, PKR akan sentiasa menentang kenaikan ini yang dibuat tanpa justifikasi dan akan terus menyokong usaha menolak kenaikan seperti ini.
Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula berikutan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan daripada segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.
Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana.
Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.
Pakatan Rakyat menentang cadangan tersebut kerana langkah itu hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi dan tidak kepada pengguna
Tiada ulasan:
Catat Ulasan