Selasa, 17 Disember 2013
Keputusan PRU13 dorong banyak peraturan, demokrasi makin mundur
Keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu bukannya menjadikan Malaysia lebih demokratik, tetapi sebenarnya mengundur ke belakang berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) mewujudkan lebih banyak undang-undang mengetatkan aktiviti politik di negara ini, kata penganalisis di sebuah majalah Komanwel.
Profesor William Case dari Hong Kong City University berkata, Umno menggunakan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk menghasilkan polarisasi kaum apabila melancarkan serangan ke atas DAP dan masyarakat Cina.
"Jika golongan elit Umno menunjukkan kemarahan mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-12, mereka semakin berpadu dan lebih tegas lagi selepas PRU13.
"Syak wasangka ke atas orang Cina yang dipamerkan semasa kempen ditambah lagi dengan kawalan ke atas pembangkang dan penganjur program diketatkan lagi.
"Bukannya memajukan lagi sistem politik, PRU13 memundurkannya ke belakang," kata Case dalam pembentangan di Sidang Meja Bulat, Journal Komanwel untuk Hal Ehwal Antarabangsa.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN memenangi 133 kerusi persekutuan, kurang tujuh berbanding Pilihan Raya Umum 2008. Pakatan Rakyat (PR) memenangi baki 89 kerusi lagi di Parlimen.
Case berkata, selepas pilihan raya Putrajaya memperkenalkan semula undang-undang pencegahan, memundurkan budaya toleransi apabila mendakwa penganjur Black 505 di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, yang disebut oleh Putrajaya sebagai undang-undang yang membenarkan perbezaan pendapat dinyatakan di khalayak ramai tanpa banyak sekatan.
Antara mereka yang didakwa di bawah akta itu ialah Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang ditangkap mengikut Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2012 (PAA) kerana gagal memberi notis kepada polis 10 hari sebelum membantu menganjurkan perhimpunan di Kelana Jaya, Selangor.
Selain itu, Penolong Setiausaha Penganjur DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su; setiausaha PKR Perak, Mohammad Anuar Zakaria dan Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai blogger 'Chegubard', turut didakwa bagi kesalahan sama selepas menganjurkan perhimpunan itu di Ipoh dan Petaling Jaya.
Empat lagi pemimpin PR di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang juga didakwa.
Case berkata, masa depan wakil-wakil rakyat ini tergugat jika didapati sabit kesalahan di bawah PAA kerana mereka boleh didenda sehingga RM10,000 dan dengan itu akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Katanya, PAA, sekalipun digambarkan sebagai langkah pembaharuan, menjadi satu lagi alat penindasan yang 'kejam'.
Case berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bekerja rapat dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan ia seolah-olah mengesahkan tanggapan ini dengan mengulas,"Saya mengaku bahawa polis agak sukar dalam menangani isu dan aktiviti yang boleh mencemarkan kedaulatan negara."
Mengenai dakwaan Umno bahawa DAP menggunakan PKR dan PAS untuk kepentingannya, beliau berkata, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Walaupun DAP sering dituduh menggunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS untuk mendapat kuasa, ia sebenarnya Umno yang menggunakan DAP," katanya.
Katanya, jika keputusan itu dilihat dengan terperinci, ia menunjukkan hanya DAP yang membuat pencapaian lebih baik manakala PKR hanya mengekalkan statusnya manakala PAS semakin mundur.
Bagi BN, katanya, walaupun kerusi yang dimenangi semakin kurang kerana prestasi lemah MCA dan Gerakan, Umno terus mara ke hadapan.
Profesor dari Amerika itu berkata, dakwaan Umno bahawa berlaku pengkhianatan dan tsunami Cina dalam PRU13 hanya dakwaan kosong kerana mereka sudah kehilangan undi Cina sejak sekian lama.
"Kebanyakan retorik politik Umno sejak 2004 dan strategi PRU13 mengesahkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata, keraguan orang Melayu terhadap 'pengkhianatan Cina' sentiasa dimainkan.
"Tetapi adakah bijak bagi orang Cina untuk menghadapi kecaman ini dengan mengundi Pakatan beramai-ramai dengan harapan Pakatan memenangi pilihan raya yang sebenarnya tidak menjadi kenyataan?
"Mungkin Dr Mahathir betul: bahawa bukan orang Cina yang mengkhianati Melayu, tetapi sebaliknya DAP yang sebenarnya mengelirukan orang Cina," katanya membuat kesimpulan, merujuk kepada penilaian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keputusan pilihan raya.
Case berkata, belum reda PRU13, pemimpin Umno yang baru dipilih berusaha bersungguh-sungguh memecahkan fahaman politik dan bukannya memperkenalkan pembaharuan untuk mendekati semula golongan bukan Melayu dan golongan pertengahan Melayu.
Beliau mengingatkan tentang kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu jika penyokong PR tidak berpuas hati dengan sistem first-past-the -post, mereka harus berhijrah ke tempat lain.
Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi BN Selangor juga berkata, mereka yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya Malaysia harus hidup di dalam hutan.
Beliau juga mengingatkan bahawa sekumpulan NGO Islam, termasuk Persatuan Pengguna Islam, menuntut masyarakat Melayu memulau syarikat yang dimiliki orang Cina kerana menyokong PR.
"Blogger Pro-Umno juga berkempen agar 'beli barangan Melayu pertama' dan 'Beli barangan Cina terakhir’,” katanya.
Case berkata, walaupun semua reda akhirnya, namun kekesalan kekal dalam masyarakat bukan Melayu.
Majalah itu juga memetik Professor James Chin dari Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) Singapura, berkata walaupun PR membuat strategi yang betul untuk pemilihan, mereka gagal untuk mengatasi tiga halangan utama.
"Pakatan Rakyat tidak boleh mengatasi tiga halangan terbesar bagi politik pembangkang di Malaysia iaitu undi Sabah dan Sarawak, pengundi Melayu luar bandar dan sistem pilihan raya yang berat sebelah," katanya.
Chin, yang juga editor tetamu jurnal itu meneliti strategi yang digunakan oleh BN dan PR dalam pilihan PRU13 .
"Kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang menyertai pilihan raya dengan strategi pilihan raya yang jauh berbeza. Kedua-dua berjaya melaksanakan strategi mereka dengan sempurna.
"Barisan Nasional tertumpu kepada Najib , konsep 1Malaysia, luar bandar Melayu, Sabah dan Sarawak. Langkah mereka berjaya apabila mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah,” kata Chin.
Chin berkata, walaupun BN kehilangan undi popular, ini adalah kerana kawasan luar bandar dan separa luar bandar mempunyai bilangan pengundi lebih kecil berbanding dengan bandar.
"Strategi Pakatan Rakyat untuk memecahkan kubu Barisan Nasional di Johor dan Malaysia Timur adalah langkah yang betul untuk dibuat.
"Bagaimanapun, PR gagal teruk dalam melaksanakan strategi ini di Sabah dan Sarawak. PAS juga tidak mampu untuk memenangi sejumlah besar pengundi luar bandar apabila gagal mengatasi jentera besar Umno di luar bandar, " katanya.
Katanya, kejayaan PR adalah mendapat sokongan yang lebih besar daripada penduduk bandar, menyapu bersih undi Cina dan memasuki Johor.
Chin berkata, jika PR gagal mengatasi halangan undi Melayu luar bandar dan bukan Melayu luar bandar di Malaysia Timur, hasil Pilihan Raya Umum ke-14 nanti mungkin sama saja.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan