Selasa, 13 Mac 2018

Tak guna laksana GST jika pemimpin ‘kaki songlap’…


Roketkini.com

Urus tadbir negara yang telus tanpa pengelewangan dan pemimpin ‘kaki songlap’ bukan sahaja mampu memberi kemakmuran berganda kepada negara tetapi juga manfaat yang berterusan kepada rakyat.

Namun, akibat pengurusan kewangan yang lemah dan ‘bocor’, kekayaan hasil negara tidak dapat dimanfaatkan secara maksima sebaliknya menyebabkan kerajaan terpaksa mencari jalan lain menampung perbelanjaan mereka.

Suka atau tidak, kerajaan BN telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang dikutip daripada rakyat dengan alasan bagi menampung perbelanjaan dan projek-projek pembangunan.

Ironinya, sepanjang lebih 50 tahun lalu, Malaysia terus memacu pembangunan rancak tanpa pelaksanaan GST yang menambah beban rakyat.

Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dilancarkan baru-baru ini berjanji untuk memansuhkan GST supaya duit poket rakyat dapat diselamatkan jika dinobatkan sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Merasa terpukul dengan komitmen itu, BN terpaksa mengulang semula segala alasan ‘menghalalkan’ kutipan GST ke atas rakyat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan menjadi negara defisit tanpa kutipan hasil GST sebanyak RM45 bilion yang kemudiannya dikembalikan semula untuk pembangunan dan bantuan.

Tanpa disedari,  Najib secara tidak langsung cuba memberi gambaran kononnya tanpa GST negara akan mundur kerana kerajaan tidak cukup sumber pendapatan.

Namun persoalannya, adakah GST mampu memberi penyelesaian menyeluruh kepada tekanan ekonomi yang dihadapi negara, lebih-lebih lagi beban kos sara hidup yang meningkat kepada rakyat tanpa urus tadbir telus?
 
Ini kerana isu mendasar yang menentukan maju mundur atau bankrap tidaknya sesebuah negara bergantung kepada urus tadbir yang telus tanpa rasuah, pemborosan, pembaziran dan ketirisan.
Persoalan keduanya; adakah kerajaan Najib telus?

Mantan Perdana Menteri 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, memadai untuk kerajaan hanya mengutip cukai jualan untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah.

“Sebab itu saya berpendapat kalau kita hapuskan GST, dan mungkin juga kita kembalikan sales tax (cukai jualan) memadai untuk keperluan kerajaan mentadbir negara dengan membayar segala perbelanjaan biasa, gaji dan sebagainya dan boleh buat pembangunan.

“Ketika kita tiada GST, kita boleh bina Lebuhraya Utara Selatan, lapangan terbang baru, Jambatan Pulau Pinang dan macam-macam lagi. Landasan keretapi kita dapat landasan kembar berelektrik; semua ini dibuat tanpa GST.

“Tak ada sebab kenapa GST ini perlu diadakan. Patut kita hapuskan GST dan ia boleh kurangkan beban rakyat,” katanya.

Negara laksana GST pun boleh bankrap…

Ahli Parlimen DAP Tony Pua dalam laporan media sebelum ini pernah mempertikaikan logik kerajaan melaksanakan GST.

“Siapa kata kalau laksanakan GST negara tidak akan bankrap? Ada juga negara maju seperti Amerika Syarikat dan (bandar) Hong Kong yang tidak ada GST dan tidak bankrap.

“Kalau nak bandingkan dengan Greece, negara itu mempunyai GST sebanyak 21 peratus tapi masih bankrap,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Tegas beliau, tanpa penyelesaian isu-isu penyelewengan dan rasuah, pelaksanaan GST bukanlah ‘ubat ajaib’ penyelesaian masalah negara. – Roketkini.com


Tiada ulasan: