Jumaat, 22 September 2017

Pengerusi kuil Batu Caves nafi paksa pengunjung angkat bahan binaan

 
Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam di Batu Caves berkata, aktiviti mengangkat bahan binaan itu ialah kerja amal yang dilakukan secara sukarela sejak akhir tahun lepas.


Nadarajah_batu-cave_600


KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, Tan Sri R Nadarajah menafikan dakwaan pengunjung dipaksa membawa bahan binaan ke puncak tangga kuil itu.

Sebaliknya, beliau berkata, aktiviti mengangkat bahan binaan itu ialah kerja amal yang dilakukan secara sukarela sejak akhir tahun lepas.

“Aktiviti itu mengajak orang ramai melakukan kebaikan dan bekerjasama membantu menyiapkan tempat ibadah. Kita amat menghargai mereka yang sudi menolong secara sukarela. Tetapi, kita faham jika ada yang tidak mampu melakukannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kuil ikonik di Batu Caves itu masih dalam proses pengubahsuaian di bahagian dasar bukit, tangga menuju ke puncak serta dalam gua.

Sehubungan itu, pengunjung termasuk pelancong digalakkan membawa bahan binaan seperti bata atau baldi berisi pasir, batu dan simen ke bahagian atas kuil, di mana kerja pengubahsuaian sedang dijalankan.

Pelancong dari Indonesia, Nellea Sari Wulandari, 25, yang pertama kali berkunjung ke kuil berkenaan bersetuju membawa bata ke atas kuil ialah pengalaman unik dan menarik.

“Naik 272 anak tangga ke atas sudah cukup mengujakan. Lawatan ini semakin bermakna kerana secara tidak langsung, saya dapat melakukan kerja amal. Tetapi, saya buat setakat termampu sahaja,” katanya.

Rahul Sadana, 35, dari India berkata, ia merupakan idea baik untuk menggalakkan orang ramai, khasnya penganut Hindu menyumbang dan menjadi sebahagian “pembina” tempat ibadat itu yang secara tidak langsung beramal untuk agama dan Tuhan mereka.

“Saya rasa tidak salah menggalakkan orang ramai berbuat sesuatu yang baik. Sebagai penganut Hindu, kami percaya Tuhan akan membayar balik mengikut apa mereka lakukan,” katanya.

Pengunjung tempatan, S Mala, 43, berpendapat lebih banyak papan tanda perlu diletakkan berdekatan kawasan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Mungkin ada pelancong asing salah faham dan fikir memang kena bawa (bahan binaan) ke atas, terutama yang tidak memahami bahasa Inggeris,” katanya.

Tiada ulasan: