Sabtu, 23 September 2017

Parti baru mahu mengembeleng undi minoriti bantu HARAPAN

FAHMI KHAIRUL
 



KUALA LUMPUR: Parti Generasi Baru (NewGen) telah mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Haparan (HARAPAN) untuk mengembalikan hak-hak golongan minoriti yang dipinggir oleh kerajaan.

Perkara itu diberitahu sendiri oleh Rajaretinam Armuggan sebagai pengerusi parti yang akan menukar nama kepada Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA).

Rajaretinam berkata keputusan untuk bekerjasama dengan PH telah dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunannya minggu lepas.

“Para perwakilan hari itu telah memberikan mandat penuh kepada barisan kepimpinan untuk menyertai Pakatan Harapan sebagai wadah perjuangan politik untuk mengubah landskap politik negara,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu adalah untuk mengubah polisi dan perlaksanaan kerajaan lama yang dilihat tidak berkesan terhadap hak-hak golongan minoriti.

“Kenapa kita perlu ada perubahan kerajaan di Putrajaya, hanya dengan perubahan kerajaan sahaja akan membawa kepada perubahan polisi dan perlaksaan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa beliau sendiri telah menghubungi Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung kerjasama dengan HARAPAN dan seterusnya menjadi komponen kelima dalam gabungan parti pembangkang.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kenapa PH perlu bekerjasama dengan Mira dalam usaha menubuhkan kerajaan baru.

“Kita (MIRA) mewakili golongan minoriti dalam negara.

“Kita disini untuk memastikan golongan minoriti dan etnik minoriti untuk bekerjasama dengan kita (dalam) memberi undi kepada Pakatan Harapan untuk menukar kerajaan di Putrajaya.

“Kaum india merupakan penentu bagi lebih kurang 50 kawasan parlimen, hampir lebih 120 kawasan DUN.

“Disebabkan mereka ini adalah kumpulan minoriti, pengundi diantara 10 peratus hingga 30 peratus (jadi) pemindahan mereka kepada mana-mana kumpulan menjadikan mereka pemenang.

Justeru itu, beliau berkata, Mira akan memastikan untuk memberi kesemua undi golongan minoriti dan etnik kecil di negara kepada HARAPAN.

“Itulah janji kita kepada Pakatan Harapan. Janji kami adalah satu untuk memastikan Pakatan Harapan menang di semua kerusi marginal.

“Kita tahu lebih 27 kerusi oleh Umno boleh pindah tangan kepada Pakatan Harapan dengan kerjasama Mira. Kemudian kita tahu 12 kerusi milik Pakatan Harapan yang menang kecil, kalau tiada input dari golongan seperti kami, mungkin (kerusi) akan terlepas kepada BN.

Parti Generasi Baru (NewGen) akan mendaftar nama barunya Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

Lebih 100 pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberi sokongan untuk MIRA menyertai HARAPAN.

Tiada ulasan: