Saturday, January 1, 2022

Tukang rumah idam Vellfire rugi RM50,160

Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB
 

KUANTAN: Hajat memiliki kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bukan sahaja tidak tercapai tetapi  seorang tukang rumah kerugian sehingga RM50,160 ditipu penjualan kenderaan di laman sosial.

Mangsa berusia 49 tahun mulanya  melihat iklan jualan kereta murah di Facebook ketika berada di rumahnya di Kempadang Perdana, Ogos lalu. 

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa kemudian menghubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr. Ng bagi urusan pembelian kenderaan tersebut.

“Mangsa bersetuju dengan tawaran harga RM24,000 bagi sebuah Vellfire diminatinya. Susulan itu, suspek meminta mangsa memberikan salinan kad pengenalan kononnya untuki proses pembelian kenderaan tersebut dan perlu segera membuat pembayaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang sangat teruja membuat pembayaran sebanyak 10 transaksi bermula pada 2 Ogos sehingga 11 Ogos lalu yang  jumlah keseluruhan sebanyak RM50,160.

“Semua duit tersebut dimasukkan ke dalam tiga akaun dan suspek memberi pelbagai alasan sehingga pengadu mahu membatalkan pembelian tersebut.,” kata beliau

Katanya, mangsa hanya menyedari sudah ditipu baru-baru ini dan membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan dan kes disiasat di bawah  Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

No comments: