Sunday, January 2, 2022

Tebing runtuh, dua kampung dinaiki air di Kota Tinggi

Tebing tanah dengan ketinggian 105 meter runtuh dipercayai akibat hujan lebat berterusan sejak pagi tadi dalam kejadian di kawasan taman perumahan Bukit Pelali, Pengerang, Kota Tinggi. - Foto ihsan polis Johor
Tebing tanah dengan ketinggian 105 meter runtuh dipercayai akibat hujan lebat berterusan sejak pagi tadi dalam kejadian di kawasan taman perumahan Bukit Pelali, Pengerang, Kota Tinggi. - Foto ihsan polis Johor

KOTA TINGGI: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi dipercayai menyebabkan tebing tanah dengan ketinggian 105 meter runtuh dalam kejadian di kawasan perumahan Bukit Pelali, Pengerang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata bagaimanapun kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu tidak membabitkan kerosakan atau kecederaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, syarikat pemaju juga sudah menjalankan tindakan susulan ke atas kejadian yang pernah berlaku pada 11 Januari tahun lalu.

"Syarikat Pemaju Taman Bukit Pelali Astaka Development sudah melantik GeoPakar Sdn Bhd bagi menjalankan kerja pembaikan cerun.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama GeoPakar turut mengadakan siasatan migitasi di lokasi kejadian dan penduduk dinasihatkan mengikut arahan pasukan penyelamat jika diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussin berkata, Kampung Mawai Baru dan Kampung Bukit Raja Darat, di Bayu Damai, dinaiki air akibat banjir kilat di kawasan itu petang tadi.

"Sehingga kini, seramai 104 mangsa terdiri 33 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ramunia dan SK Mawai.

"Seramai 14 individu berada di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian (Home Surveillance Order) dan mereka sudah diasingkan," katanya.

No comments: