Saturday, January 1, 2022

Selangor perlu sehingga RM20 juta urus sampah pascabanjir: MB


Kerajaan Selangor memerlukan antara RM10 juta dan RM20 juta lagi bagi mengurus sampah pascabanjir, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri telah membelanjakan RM6 juta bagi mengurus sampah pascabanjir di daerah dan kawasan yang dilanda banjir besar baru-baru ini.

Memetik Bernama beliau berkata Selangor memerlukan RM10 juta hingga RM20 juta untuk menyelesaikan proses pembersihan dan pungutan sampah berkenaan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk Ikhtiar Selangor Bangkit meliputi RM20 juta bagi pembersihan dan pemulihan manakala RM80 juta untuk pembinaan semula infrastruktur.

“Kita sedang giat dengan kerja pembersihan dan di Hulu Langat khususnya kawasan Taman Sri Nanding, proses kutipan dan pembersihan dijalankan dengan skala sangat besar, meliputi lebih 70 peratus.

“Sekarang kita kena tumpu di kawasan Taman Sri Muda dan sekitar yang masih rendah (perkembangannya)… hari ini kita dah tambah 200 buah lori yang kita sudah aturkan untuk kawasan itu.

Jadi saya harap kita boleh selesaikan dalam masa seminggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit hari ini.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan di Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang di Banting serta Kampung Asahan, Kuala Selangor baru dimulakan susulan banjir yang baharu sahaja surut sejak semalam ke tiga hari lepas.

Setakat ini, lebih 20,000 tan sampah pascabanjir diuruskan oleh kerajaan negeri selain 7,000 tan sampah domestik harian melalui anak syarikat negeri, KDEB Waste Management.

No comments: