Sunday, January 2, 2022

RM1 bilion baiki infrastruktur rosak akibat banjir

Nor Azizah Mokhtar
Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman (dua, kanan) melihat jambatan sementara yang akan dipasang di Sungai Lui hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman (dua, kanan) melihat jambatan sementara yang akan dipasang di Sungai Lui hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir besar di seluruh negara mencecah RM1 bilion.

Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata ia meliputi kerja pembaikan jalan rosak serta jambatan runtuh serta cerun-cerun yang runtuh dan ia akan dilaksanakan dengan kadar segera.

Katanya, kos berkenaan termasuk pemasangan jambatan Bailey bagi menggantikan sementara jambatan-jambatan yang runtuh akibat banjir tempoh hari.

Beliau berkata, setakat ini dua jambatan Bailey dipasang di dua lokasi iaitu di Kampung Tanjung Pauh, Batu 19 Sungai Lui, Hulu Langat dekat sini dan di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membaiki semua jalan yang rosak tidak kira sama ada jalan negeri atau jalan persekutuan, termasuk jalan runtuh, cerun runtuh, dan jambatan yang rosak.

"Ia dianggarkan memakan kos RM1 bilion dengan kebanyakan jalan yang rosak adalah di negeri Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan serta beberapa negeri lain," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu bersama Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman serta Jurutera Daerah Hulu Langat, Zulfaizal Mat Zin melawat lokasi pemasangan jambatan Bailey di Kampung Tanjung Pauh, Batu 19 Sungai Lui, Hulu Langat.

Dalam pada itu, katanya pihaknya sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam berhadapan kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir.

"Kita khuatir sekiranya berlaku gelombang kedua kerana pada 'first wave' (gelombang pertama) banjir, apabila banjir besar banyak pokok-pokok tumbang dan tersadai di atas sana (bukit).

"Sekiranya berlaku gelombang kedua, hujan lebat dan air besar akan bawa pokok-pokok tumbang itu ke sungai-sungai dan musnahkan pokok-pokok kecil, maka itu akan memberi kesan kepada kediaman di tepi-tepi sungai," katanya.

Justeru, katanya JRK bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dengan memindahkan pokok-pokok besar yang tumbang itu ke tempat selamat, jauh dari tebing sungai dan laluan air.

Dalam pada itu, katanya cerun-cerun yang terkesan dan rosak sedikit akibat banjir gelombang pertama diletakkan penutup kanvas 'tarpaulin sheet' untuk mengelak berlaku lebih banyak runtuhan.

Selain rondaan oleh petugas JKR untuk melakukan pemantauan di kawasan cerun bukit ketika hujan untuk memastikan tahap keselamatan dan awam dapat diberitahu awal sekiranya ada berlaku runtuhan.

No comments: