Sunday, January 2, 2022

Pesanan buat sukarelawan banjir

 Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan

Pastikan tidak bergejala, lengkap vaksinasi COVID-19

BUAT sukarelawan yang tengah giat mengerahkan tenaga, masa dan wang bagi membantu mangsa-mangsa banjir, tahniah!

Agar segala usaha bantuan dapat berjalan dengan baik dan selamat serta tidak menimbulkan masalah atau musibah yang lain, persiapan dan langkah berjaga-jaga perlu diambil perhatian juga.

Persediaan awal: 

Pastikan anda tidak bergejala dan telah lengkap vaksinasi COVID-19 sebelum menyerti mana-mana misi banjir.

  1. Pastikan anda mempunyai kesihatan yang baik untuk melakukan kerja-kerja berat dan berpanjangan.
  2. Niatkan ikhlas dalam membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan serta bersabar dengan karenah orang yang pelbagai.

Kelengkapan pelindung diri:

  1. Pelitup muka (sebaiknya N-95)
  2. Baju lengan panjang dan seluar panjang
  3. Sarung tangan getah atau tebal
  4. Kasut atau boot getah *dikawasan yang lebih teruk mungkin memerlukan topi keras, pelindung mata dan peindung telinga.

Penjagaan ketika proses pembersihan:

  1. Lindungi luka pada badan dengan plaster kalis air.
  2. Bekerja ikut kemampuan dengan berhenti secara berkala dan minum air bersih secukupnya.
  3. Sentiasa membasuh tangan anda dengan air bersih dan sabun sebelum makan. Sekiranya air bersih tiada, boleh gunakan pembersih tangan (mempunyai paling kurang 60 peratus alkohol)
  4. Sekiranya pembersihan melibatkan kawasan kotor (air bertakung, kawasan kumbahan dll) gunakan boot getah, sarung tangan getah dan pelindung mata.
  5. Angkat barang yang berat bersama rakan yang lain. Barang-barang yang menyerap air akan menjadi sangat berat dan berbahaya sekiranya diangkat dengan berseorangan.

Penjagaan selepas misi:

  1. Pastikan baju yang digunakan ketika misi banjir dibasuh berasingan dengan baju biasa.
  2. Sentiasa bersihkan badan sebelum bergaul dengan orang lain.
  3. Sekiranya terdapat luka, basuh dengan air bersih dan sabun, keringkan dan letak krim antiseptic – dapatkan nasihat doktor.
  4. Sekiranya bergejala ie demam, sakit otot dan sendi, mata merah, menggigil, sakit kepala, sakit perut, mata kuning atau kencing kurang, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Semoga keselamatan dan kesihatan para sukarelawan terjaga dan dapat melaksanakan misi bantuan banjir dengan baik.

#kitajagakita

#misibantuanbanjir

(*) Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan
Pengamal Perubatan Keluarga
Aktivis I-Medik   -ISMA WEB


No comments: