MELAKA: Kehadiran kumpulan babi hutan di Kampung Kelongkong, Tanjung Kling di sini bukan sahaja merisaukan penduduk sekitar, namun turut merosakkan tanaman seperti ubi, nanas dan juga pagar kebun peladang.
Lebih parah apabila haiwan liar itu juga didakwa mengejar beberapa kanak-kanak yang bermain di luar rumah termasuk penunggang motosikal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Abu Bakar Japar, 65, berkata, dia bimbang dengan kehadiran haiwan tersebut yang semakin galak berkeliaran sejak akhir-akhir ini, khususnya waktu petang dan malam.
Menurutnya, tanaman miliknya sering dirosakkan selain pagar kebun berlubang disondol babi hutan.
“Saya sudah putus asa untuk menanam pokok-pokok tersebut sebab kerap dimusnahkan oleh haiwan ini.
“Namun apa yang lebih membimbangkan saya ialah soal keselamatan kanak-kanak dengan warga emas. Khuatir takut masuk dalam rumah mungkin ia menyondol atau mungkin menggigit,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, rutin kehidupan kira-kira 400 penduduk Kampung Kelongkong berubah sekelip mata selepas kawasan itu ‘diserang’ puluhan babi hutan sejak bulan lalu.
Satu video yang sempat dirakam penduduk kampung turut tular dalam media sosial memaparkan beberapa ekor babi berlari di hadapan rumah mereka sehingga menimbulkan suasana panik.
Abu bakar menambah, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk diambil tindakan.
“Saya berharap pihak bertanggungjawab khususnya Perhilitan dapat menangkap haiwan tersebut kerana dibimbangi berlaku kejadian yang tidak diingini berlaku,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment