Selasa, 7 Disember 2021

Warga emas simpan ‘trofi’ babi hutan dicekup

Oleh AMREE AHMAD
TROFI babi hutan yang dirampas dari sebuah premis di Kuala Lumpur baru-baru ini. – IHSAN PERHILITAN  

PUTRAJAYA: Tindakan seorang warga emas yang menyimpan ‘trofi’ babi hutan di premisnya, mengundang padah apabila dia dicekup pihak berkuasa di ibu kota, baru-baru ini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan, suspek ditahan dalam pemeriksaan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara mengejut di lokasi tersebut bagi membantu siasatan berhubung kesalahan menyimpan hidupan liar dan bahagian hidupan liar tanpa sebarang kebenaran.

Hasil pemeriksaan tersebut, ujarnya, pasukan itu  merampas pelbagai spesies hidupan liar antaranya disyaki penyu jenis Alligator Snapping dan Yellow Pond dari luar negara selain kura-kura spesies Red Footed, Leopard dan Sulcata serta reptilia iguana yang lazimnya ditemukan dari rantau tropika Amerika.

Malah, mereka juga menjumpai bahagian hidupan liar yang disyaki sebagai kulit, daging dan trofi daripada babi hutan atau disebut wild boar atau nama saintifiknya iaitu Sus scrofa.

 Orang ramai yang berminat menyimpan babi hutan perlu memiliki lesen dikeluarkan Perhilitan manakala Orang Asli dibenarkan memburu untuk kegunaan sendiri tetapi tidak boleh dijual.

Nilai penyu yang ditemui Perhilitan itu boleh mencecah harga RM1,500 seekor di laman niaga dalam talian tempatan manakala kura-kura berkenaan pula mampu melepasi RM2,200 seekor.

“Satu laporan polis telah dibuat berkaitan pemeriksaan ini dan semua barang rampasan sudah dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Suspek berkenaan turut dibawa ke balai polis bagi tindakan siasatan seterusnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sebelum perintah pendakwaan dikeluarkan secara rasmi yang mana jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: