Jumaat, 31 Disember 2021

Tanah runtuh, lima jalan di N. Sembilan masih ditutup


Lima jalan di negeri ini yang terjejas akibat tanah runtuh susulan hujan lebat dan banjir baru-baru ini masih ditutup untuk semua kenderaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata ia melibatkan Jalan Felda Titi, Jalan Kampung Renal, Pocket Road FT086 di Jeram Toi, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras di Jelebu dan Stesen Pemancar Gelombang Mikro Gunung Telapak Buruk di Seremban, menurut laporan Bernama.

“Pembukaan jalan ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Pihak JKR telah membuat laluan yang boleh dilalui sebelah lorong sahaja untuk laluan terjejas bagi hal-hal kecemasan manakala selebihnya akan dibaiki secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggunakan peruntukan darurat daripada kerajaan negeri bagi membaiki kawasan atau jalan di bawah tanggungjawab JKR yang rosak dan terlibat dengan tanah runtuh terutama di daerah Jelebu, Seremban dan Rembau.

Wan Hasnan berkata peruntukan pembaikan kekal untuk jalan raya yang terjejas teruk akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: