KERTAS siasatan kes membabitkan lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang berjaya diberkas semula setelah melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor baru-baru ini, hampir lengkap.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar selepas program Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor, hari ini.
Menurut Ayob Khan, buat masa ini, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dan tiga lagi individu dipercayai rakan lelaki berkenaan masih direman sehingga Isnin.
Namun begitu, beliau berkata, polis mungkin akan meminta tahanan reman terhadap Long Tiger dan tiga lagi individu itu disambung sekiranya siasatan belum lengkap.
“(Reman) bergantung kepada siasatan, kalau siasatan belum lengkap mungkin kita akan minta disambung reman.
“Ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak.
“Insya-Allah, saya rasa kita dah hampir siapkan kertas siasatan. Kes ini straightforward. Dia melarikan diri daripada tahanan.
“Kita tunggu dan lihat, kalau tak cukup mungkin kita akan minta reman tambahan,” katanya.
Pada masa sama, Ayob Khan memaklumkan, jumlah tangkapan melibatkan kes tersebut kekal empat orang.
Selepas 13 hari bertindak melarikan diri daripada tahanan, Long Tiger yang berdepan perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan akhirnya diberkas semula di Kedah, Selasa lalu.
Selain Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, dia juga masih berdepan dua perbicaraan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 506 kanun sama kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya.
Long Tiger ditahan ketika menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.
Lelaki tersebut dikatakan memilih untuk keluar dari negara ini sama ada ke Thailand atau Indonesia setelah meloloskan diri dari lokap, 15 Disember lalu.
Dia direman empat hari hingga Isnin ini oleh Mahkamah Majistret Tangkak bersama-sama tiga lagi individu dipercayai rakan lelaki berkenaan.
Perintah reman terhadap Abdul Hamim dan tiga lelaki masing-masing
berusia 36, 38 dan 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan