PETALING JAYA: Proses pemakaian alat penjejak oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas mereka yang mengunjungi negara luar dan menjalankan kuarantin di rumah mengambil masa terlalu lama menyebabkan jemaah umrah yang baru tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari tanah suci, ‘naik angin’.
Kejadian itu tular menerusi klip rakaman yang dimuat naik di laman media sosial TikTok oleh Zulkifli Mohamed yang memaparkan sekumpulan jemaah umrah terpaksa berhimpit di dalam ruang kecil dan tanpa penjarakan sosial bagi tujuan tersebut.
Di dalam klip video turut memaparkan kelibat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama beberapa kakitangan KKM menyaksikan suasana dan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemakaian alat penjejak itu.
– KLIP video memaparkan jemaah umrah
yang tiba di KLIA dari tanah suci meluahkan perasaan tidak berpuas hati
dengan proses pemakaian alat penjejak yang mengambil masa terlalu lama.
-TikTok Zulkifli Mohamed
Menurut Zulkifli, situasi tersebut terjadi selepas kumpulan jemaah umrah tiba di KLIA daripada tanah suci dan terpaksa menunggu selama lima jam bagi menyelesaikan proses pemakaian gelang tangan tersebut.
Namun apa yang membuat jemaah lebih geram adalah sebaik sahaja pemakaian gelang itu selesai, Khairy dikatakan membuat pengumuman pembatalan pemakaian alat tersebut.
“Siap sahaja pakai, KJ (Khairy) umum pemakaian jam penjejak ni dibatalkan serta merta dan ditukarkan kembali kepada gelang merah jambu dahulu,” luah Zulkifli di ruangan komen TikTok.
Sementara itu, rata-rata netizen mempertikai proses pemakaian gelang penjejak sehingga membazir waktu jemaah dan menganggap pemakaian alat tersebut adalah pembaziran serta memohon KKM melakukan semakan semula.
“Buat benda tak ada perancangan dan kajian, macam ni la jadinya. Buang duit sahaja,” komen kalabul_malami.
“Pakai alat penjejak ni bagus
disebabkan ada perangai segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.
Cuma perlu diperbaiki dari segi percepat proses pemakaian dan urusan
yang balik dari luar negara,” komen sitimariyamida. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan