Jumaat, 31 Disember 2021

Tiada sambutan Tahun Baharu diluluskan polis esok


Tiada sambutan Tahun Baharu diluluskan polis esok

Sebarang acara atau majlis sambutan Tahun Baharu tidak dibenarkan esok selepas pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program sedemikian.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata langkah tersebut melibatkan seluruh negara bertujuan mengelak risiko penularan Covid-19 dalam komuniti.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara untuk melakukan rondaan di kawasan tumpuan ramai bagi memastikan tiada yang berkumpul melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti sambutan tahun baharu atau berkumpul beramai-ramai pada malam menjelang tahun baharu di mana-mana lokasi tumpuan ramai,” katanya menurut laporan BH.

Terdahulu, polis dilaporkan akan menjalankan pemantauan dan rondaan pematuhan SOP PPN Fasa 4 di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu negara esok, sempena sambutan Tahun Baharu 2022.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, dipetik berkata pihaknya akan memfokuskan aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP mengikut arahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiada ulasan: