Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin
Musibah kali ini mendidik nilai kebersamaan rakyat Malaysia
1- SELAMA dua hari saya simpan foto ini. Serba salah rasanya, sama ada mahu disimpan sebagai kenangan peribadi atau pun dikongsikan agar menjadi pengajaran kepada sahabat-sahabat aktivis kemanusiaan dan para penyumbang yang menginginkan agar bantuan bencana banjir ini sampai kepada mereka yang memerlukannya.
2- Tatkala kita sibuk bertungkus lumus menghulurkan bantuan banjir di pelbagai lokasi di Selangor, kami menerima panggilan yang banyak daripada pihak yang memerlukan dari Pahang, Negeri Sembilan dan lain-lain. Kami juga berkoordinasi dengan APM, Bomba dan 7 NGO yang lain sebagai rakan strategik kemanusiaan (ini yang kami mampu sebagai NGO).
3- Tanggal Khamis 23 Disember 2021 (hari ke-5 bencana), kami menerima panggilan dari Paloh Hinai, Pekan bahawa masih ramai dari kalangan ahli keluarga mereka yang terkepung akibat banjir di sekitar Sungai Pahang dan memerlukan bantuan kemanusiaan.
4- Jumaat, 24 Disember 2021, kami segera menghubungi agensi yang berkaitan khususnya pihak Bomba dan APM serta rakan NGO kami di pedalaman, Alucast Pahang bagi menjayakan projek bantuan bencana di kawasan ini.
Pasukan logistik YI menyediakan 1,000 pek bantuan makanan untuk mangsa banjir, membeli peralatan tambahan seperti jaket keselamatan, headlamp, powerbank untuk kegunaan team dan rakan strategik
5- Sabtu 25 Disember 2021, seramai 20 orang relawan terlatih YI bertolak seawal 4 pagi dari Bangi, dan bergerak ke Paloh Hinai bersama satu lori kontena yang memuatkan 1,000 pek makanan asasi yang diperlukan oleh para mangsa banjir.
6- Jam 10 pagi di Paloh Hinai, kami menaiki 7 buah bot pasukan Alucast Pahang untuk bermudik ke hilir Sungai Pahang sejauh 10 km dalam perjalanan yang agak berliku menuju ke Kg Tanjung Pulai bersama penunjuk jalan di kalangan anak muda tempatan.
Setelah mengikat bot ini di pintu masjid kampung yang juga lengang akibat banjir, kami meredah air banjir pada paras lutut sejauh 100 meter sebelum kami dapati beberapa buah rumah yang masih dihuni oleh penduduk kampung.
Kami menghantar bantuan makanan, RM dan jaket keselamatan ke rumah seorang lelaki OKU yang menjaga ibunya yang telah berusia 80 tahun.
Untuk ke rumah jirannya pula, kami terpaksa meredah banjir yang melebihi paras pinggang dan kami bertemu dengan seorang remaja perempuan yang menjaga emak saudaranya yang telah tua. Sekali lagi, kami serahkan bantuan pek makanan asasi dan RM tunai serta mendoakan keselamatan mereka.
7- Selepas itu, kami merentas Sungai Pahang untuk menghantar bantuan kepada 30 keluarga yang terkepung akibat banjir di Kg Padang Rumbia serta bertemu dengan anggota Bomba yang mengawasi keselamatan mereka.
Kami hanya kembali pulang ke lokasi tumpangan di Paloh Hinai menjelang jam 6 petang untuk bersolat dan beristirehat serta membuat persiapan misi untuk keesokan harinya.
8- Ahad 26 Disember 2021, relawan YI ini meneruskan misi bantuan kepada 100 keluarga Orang Asli di Kg Belukar Nangka dan kemudiannya 35 keluarga di Kg Bukit Udang.
Apa yang pasti, masih ramai keluarga mangsa banjir di pedalaman yang perlu disantuni dan dibantu oleh kita semua. Ia sangat berbeza dengan misi bantuan di Shah Alam, Hulu Langat, Dengkil dan Klang.
9- Misi ke pedalaman Pahang kali ini kelihatan jauh lebih mencabar dan harus senantiasa mendahulukan elemen keselamatan serta berkoordinasi dengan agensi keselamatan bencana.
10- Kesimpulan yang ingin saya nyatakan :
i- Musibah kali ini mendidik nilai kebersamaan rakyat Malaysia (Tahniah rakyat Malaysia !)
ii- Setiap pihak perlu meningkatkan persiapan dan kesiapsagaan dengan lebih awal.
iii- Elemen keselamatan dan kesejahteraan mesti didahulukan
iv- Pengendalian bencana banjir di Malaysia perlu ditambahbaik terutamanya dari sudut ‘PENYELARASAN’, yang saya anggap kurang cemerlang.
Terima kasih kepada semua anggota agensi
pengendalian bencana, pimpinan NGO dan aktivis kemanusiaan, para
relawan, badan korporat, para dermawan, media dan semua yang menyumbang
secara langsung atau pun tidak. ISMA WEB
Peduli, Prihatin
Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin
Pengerusi Yayasan Ikhlas
Kredit foto – Khairul Manaf, TV Hijrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan